Sorting by

×

Tinggal di Melaka, bincang hal kahwin di bilik hotel

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BANDARAYA MELAKA 5 Mac – Tindakan seorang wanita dan pasangan kononnya mahu membincangkan urusan perkahwinan dalam sebuah bilik hotel di Bandar Melaka mengundang padah apabila dicekup berkhalwat, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) , Datuk Che Sukri Che Mat berkata, wanita berusia 44 tahun yang juga berstatus janda bersama pasangannya 36 tahun itu antara 12 individu yang ditahan pihak JAIM menerusi Op Medsos.

Katanya, operasi yang bermula jam 10 malam hingga 4 pagi itu adalah berpandukan hasil risikan pihaknya.

“Pasangan kekasih yang dicekup telah memberikan alasan ingin membincangkan urusan majlis perkahwinan mereka di hotel tersebut dan telah menempah penginapan bagi dua malam.

“Wanita tersebut merupakan seorang janda yang kematian suaminya, manakala kekasihnya merupakan lelaki bujang dan kedua-dua mereka adalah penduduk tempatan dan rumah mereka kurang 10 kilometer (km) dari hotel yang ditempah.

“Ketika disoal siasat, pasangan itu mengakui menempah bilik hotel bagi dua malam dengan alasan mahu berbincang mengenai urusan majlis perkahwinan mereka yang dijangka berlangsung pada Mei depan.

“Seramai 15 anggota penguat kuasa telah melakukan serbuan dalam Op Medsos dan enam pasangan berjaya ditangkap dalam pemeriksaan di 12 premis hotel terkemuka di sekitar Bandar Melaka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Che Sukri berkata, satu lagi pasangan yang dicekup pula memberikan alasan si wanita terlalu letih dan tidak larat untuk memandu pulang ke rumah selepas menghadiri majlis kenduri arwah keluarga teman lelakinya.

“Lelaki tersebut berusia 24 tahun, manakala teman wanitanya 28 tahun yang berasal dari Melaka.

“Ketika diserbu pasangan ini mengambil masa 10 minit untuk membuka pintu dengan lelaki tersebut memberikan alasan berada di dalam bilik berkenaan kerana ingin makan bersama teman wanitanya.

“Kesemua pasangan itu telah ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen perkahwinan dan dibawa ke pejabat JAIM bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

15169
Kongsi :
Previous post ‘H’ biru bawa dadah rupanya…
Next post Mangsa banjir di Melaka cecah 601 orang
Ubah saiz-+=