Sorting by

×

Tindakan tegas terhadap pemain terlibat pergaduhan – Irfan

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Tindakan tegas wajar dikenakan terhadap pemain terlibat dalam insiden pergaduhan yang mencemarkan aksi terakhir Piala Menteri Besar Terengganu antara Terengganu FC II (TFC II) dan Penang FC, semalam.

Insiden pergaduhan antara pemain kedua-dua pasukan pada penghujung separuh masa pertama aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu memaksa perlawanan ditamatkan lebih awal.

Jurulatih berpengalaman Irfan Bakti Abu Salim berpendapat hukuman keras patut dikenakan sebagai amaran dan pengajaran kepada semua pemain mahupun pegawai pasukan supaya tidak terlibat dalam sebarang pergaduhan pada masa hadapan.

Beliau turut kesal insiden tersebut boleh berlaku dalam waktu latihan pramusim yang mana pasukan menggunakan tempoh itu untuk melakukan persiapan bagi menghadapi saingan musim baharu Liga Malaysia (Liga-M).

“Malulah apabila ketika pramusim berlaku insiden seperti itu. Pergaduhan tidak patut berlaku, jadi tindakan tegas harus diambil untuk mengajar pemain-pemain terbabit.

“Provokasi dan permainan agresif dalam bola sepak adalah biasa dan tidak seharusnya dibuat secara berlebihan, tetapi kalau sudah sampai bertumbuk, terajang dan sebagainya ia memang tidak patut dan melampau,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Jurulatih berusia 70 tahun itu berkata insiden sedemikian bukan sahaja memalukan malah memberi gambaran buruk terhadap sukan bola sepak di negara berstatus profesional, selain bola sepak dianggap sebagai medium perpaduan.

“Memalukan pasukan, nama sendiri dan permainan bola sepak kerana satu dunia akan tengok bukan setakat di Malaysia saja. Malah budak-budak sekarang seawal lima tahun minat menonton bola, jadi inikah contoh yang patut ditunjukkan pemain? Ia adalah gambaran tidak baik.

“Pemain kena ubah cara permikiran mereka kerana tidak sepatutnya berlaku lagi pergaduhan sebegitu dalam bola sepak sekarang,” kata jurulatih pasukan Liga Premier, Kuching City FC itu.

Beliau berkata sekiranya kejohanan itu mendapat kelulusan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), maka badan induk itu bertanggungjawab untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.

Pada aksi itu, pergaduhan tercetus selepas pemain TFC II meraikan kejayaan penjaga gol Mohd Shafawi Mohamad menafikan sepakan penalti kapten Penang FC Endrik Dos Santos sekali gus menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan pemain skuad Harimau Kumbang.

Susulan itu berlaku kekecohan disusuli dengan aksi kejar-mengejar antara pemain kedua-dua pasukan sehingga memaksa anggota keselamatan dan pegawai perlawanan masuk ke dalam padang bagi meleraikan keadaan.

Impak daripada pergaduhan itu seorang pemain TFC II Mohammad Ridzuan Mohd Razali dan pemain Penang FC Muhammad Adib Abdul Ra’op mengalami kecederaan.

Dalam pada itu, Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011 itu berkata tindakan pengadil menamatkan perlawanan adalah keputusan yang betul bagi mengelakkan situasi menjadi lebih tegang pada separuh masa kedua.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

507
Kongsi :
Previous post Pelajar Melaka di Mesir dapat penempatan selesa – KM
Next post 19,090 kes baharu COVID – KP Kesihatan
Ubah saiz-+=