Sorting by

×

TINDAKAN TEGAS MENANTI KONTRAKTOR PENYELENGGARAAN TIDAK IKUT SOP – MPHTJ

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 15 Mac – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada kontraktor penyelanggaraan jalan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, termasuklah menamatkan kontrak mereka serta-merta.

Yang Dipertua MPHTJ Datin Sapiah Haron memaklumkan kesemua kontraktor yang dianugerahkan kerja-kerja penyelenggaraan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu telah diberi taklimat dan syarat SOP yang perlu dipatuhi sewaktu menjalankan tugas yang diamanahkan.

Jelas beliau, antara SOP yang ditetapkan adalah seperti pemasangan lampu dan papan tanda keselamatan, selain meletakkan kon keselamatan di lokasi kerja-kerja penyelenggaraan seperti penyiraman pokok, pembersihan dan sebagainya.

“Syarat itu memang telah ditetapkan, jadi jika kita turun padang dan mendapati ada kontraktor gagal mematuhi SOP tersebut, kita akan denda dan beri amaran pertama.

“Jika selepas tiga kali masih melakukan kesalahan berulang, kita akan tamatkan kontrak mereka memandangkan perkara itu telah termaktub dalam syarat yang ditetapkan.

“Untuk tahun lalu, terdapat dua kontraktor yang telah ditamatkan kontrak membabitkan kerja-kerja landskap dan pembersihan kerana mereka didapati melakukan kesalahan berulang dengan tidak mengikut SOP dan kerja tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Masih Ada Yang Sayang dan Sumbangan Aidilfitri 2025 MPHTJ di sebuah pusat beli belah, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai insiden kemalangan maut membabitkan seorang pemandu kereta dengan lori penyiraman pokok di Jalan Seri Negeri, baru-baru ini, Sapiah menjelaskan, kemalangan tersebut bukannya membabitkan kontraktor yang sedang melakukan penyelenggaraan.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, sewaktu kemalangan, lori itu sedang bergerak selepas menghantar pokok di nurseri MPHTJ dan bukannya ketika melakukan kerja-kerja penyiraman pokok.

“Lori tersebut sebenarnya dalam perjalanan kerana ketika kejadian ia berada di tengah-tengah dan bukannya di lorong paling kanan atau kiri.

“Apapun, kita akan terus memastikan setiap kerja-kerja penyelenggaraan yang dilakukan di bawah MPHTJ tidak melanggar SOP keselamatan yang ditetapkan sehingga mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post KPDN EDAR 18,000 BAUCAR E-DOMPET
Next post PINTU MASUK MELAKA LEBIH INDAH, CERIA SEMPENA AIDILFITRI