TINDAKAN TATATERTIB, 147 PEGAWAI, ANGGOTA POLIS DIBUANG KERJA
AYER KEROH 2 Januari – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah berkompromi berhubung aspek integriti pegawai dan anggotanya dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada negara serta masyarakat.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, pegawai atau anggota PDRM didapati terbabit dalam salah laku tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan tatatertib termasuk pemberhentian kerja.
Katanya, bagi tempoh Januari hingga November 2024 seramai 147 pegawai dan anggota PDRM dikenakan tindakan tatatertib diberhentikan kerja atas pelbagai kesalahan dilakukan berbanding 139 individu bagi tempoh sama 2023.
“Data ini sebagai bukti bahawa kita tidak berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang melakukan kesalahan.
Ini juga sebagai peringatan kepada warga PDRM supaya sentiasa melaksanakan tugas dengan penuh integriti khususnya dalam tahun baharu dan cabaran yang baharu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Melaka antara Datuk Wira Zainol Samah kepada pemangku Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Md Nazri Zawawi di Auditorium Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini, hari ini.
Katanya, Suruhanjaya Pasukan Polis diberikan kuasa untuk melaksanakan tindakan tatatertib terhadap mana-mana pegawai atau anggota PDRM terlibat dalam salah laku.
“Perlu ingat bahawa kuasa tatatertib ini daripada Suruhanjaya Pasukan Polis, mereka turunkan kuasa itu dan kita laksanakan.
“Biasanya hukuman tatatertib yang berakhir dengan buang kerja itu memang ada sabitan mahkamah,” katanya.
Mengulas lanjut, bagi statistik kematian orang dalam tahanan polis sepanjang tempoh kajian tahun 2024 adalah sebanyak 25 kes kematian direkodkan.
“Data ini menunjukkan peningkatan tiga kes kematian berbanding tahun 2023 iaitu sebanyak 22 kes,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.