TINDAKAN SEGERA MBMB SELAMATKAN STRUKTUR BANGUNAN KEDAI ROBOH
BANDA HILIR 1 Januari – Tindakan segera akan diambil bagi menyelamatkan lebih banyak premis kedai di sekitar bangunan merah dikhuatiri akan rosak dan terjejas.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, ia susulan insiden melibatkan sebuah kedai di Jalan Laksamana yang rosak dan strukturnya terjejas dilaporkan pagi tadi.
Katanya, insiden tersebut berpunca daripada gegaran disebabkan kapasiti kenderaan melalui jalan tersebut memberi kesan kepada struktur bangunan yang berusia ratusan tahun itu.
“Pihak kami menerima laporan sekitar jam 12.30 tengah hari tadi daripada pelancong dan pemilik premis sekitar mengatakan struktur dan fasad bangunan kedai ini runtuh.
“Skuad teknikal MBMB terus bergegas ke sini bagi menyelamatkan bangunan kedai ini daripada rosak dan membahayakan pelancong sekitar.
“Hari ini juga kita sudah memasang penyokong pada bangunan ini supaya ia tidak jatuh secara tiba-tiba kerana strukturnya sudah patah malah boleh roboh pada bila-bila masa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan tinjauan ke lokasi berkenaan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, insiden tersebut nyata memberi kesedaran mengenai rasionalisasi Kerajaan Negeri mengadakan Zon Bebas Kenderaan bagi memelihara bangunan warisan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.