Tindakan CBP AS terhadap SDP terburu-buru, tidak berasas – Zuraida
KUALA LUMPUR, 31 Jan – Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin berpendapat tindakan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) terhadap Sime Darby Plantation (SDP) atas alasan isu buruh paksa adalah terburu-buru dan tidak berasas.
Menurut Zuraida, ia berikutan SDP sedang menyusun laporan bebas yang komprehensif dan bakal diserahkan kepada AS dalam masa terdekat.
“Saya dengan tegas ingin mengulangi bahawa industri minyak sawit Malaysia beroperasi di bawah piawaian ketat yang selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Kementerian juga bekerjasama rapat dengan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Alam Sekitar dan Air bagi memastikan industri minyak sawit negara mematuhi undang-undang dan amalan domestik dan antarabangsa yang telah ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
CBP telah menurunkan taraf tindakan terhadap SDP daripada Perintah Pelepasan Penahanan (WRO) kepada penemuan.
Di bawah WRO, produk masih boleh mendarat di AS namun tidak boleh didagangkan atau diproses.
Bagaimanapun, berikutan notis penemuan yang diterima oleh SDP, sebarang produk yang ditemui akan dirampas.
Zuraida berkata kementerian itu akan mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan isu tersebut daripada agensi berkaitan di AS agar penyelesaian segera dapat dicapai.
“Bagi tujuan ini, KPPK akan bekerjasama rapat dengan Wisma Putra dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
“Selain itu, kementerian juga akan memperluas kerjasama sepenuhnya dengan agensi di AS dan negara lain supaya minyak sawit keluaran negara boleh didagangkan secara bebas di peringkat global,” katanya.
Katanya KPPK akan terus bekerja keras bagi memastikan kepentingan jangka panjang industri minyak sawit terjaga dan seterusnya membantu jutaan pekebun kecil sawit dan pihak berkepentingan lain.
“Saya juga menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dengan kementerian dalam usaha menangani propaganda anti-minyak sawit oleh negara-negara barat yang dengan jelas bertujuan menjatuhkan industri minyak sawit negara kita,” katanya.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.