Tindak tegas menunggu anggota polis dan tentera dalam rusuhan bola sepak Indonesia
JAKARTA, 4 Oktober – Tentera Nasional Indonesia memberi jamninan akan mendakwa anggotanya yang melakukan kekerasan semasa menyuraikan rusuhan dalam tragedi 1 Oktober di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur, yang meragut 125 nyawa.
Menurut Panglima Tentera Jenderal Andika Perkasa, anggota yang didapati bersalah bukan lagi berhadapan dengan hukuman etika tatatertib tetapi hukuman jenayah.
“Tindakan (anggota) dalam video yang tular kelmarin bukan dalam konteks mempertahankan diri. Ia perbuatan jenayah kerana orang awam mungkin tidak akan sesekali mahu berhadapan dengan tentera,” katanya seperti dipetik media tempatan.
Andika turut menggesa orang ramai menghantar video tindakan anggota tentera yang melakukan kekerasan melampau semasa kejadian kepada pihak tentera.
Dalam video yang tular di media sosial, anggota tentera yang turut serta menjaga keselamatan di stadium bertindak kasar dengan menendang penyokong bola sepak hingga terjatuh.
Sementara itu, Polis Indonesia memecat ketua polis Malang dan sedang menyiasat lebih sembilan pegawai kerana didapati bertanggungjawab melepaskan gas pemedih mata di dalam stadium.
Tragedi itu berlaku selepas pasukan Arema FC tewas 3-2 kepada Persebaya Surabaya, mencetuskan kemarahan penyokongnya yang memasuki padang untuk bersemuka dengan pemain dan pegawai pasukan itu selepas perlawanan tamat.
Bagaimanapun, keadaan bertambah tegang dengan pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata yang menyebabkan ribuan penyokong atas padang berasak-asak untuk keluar stadium melalui satu pintu sehingga berlaku rempuhan. Tidak kurang daripada 323 orang turut cedera.
Pihak keselamatan berdepan tekanan susulan penggunaan gas pemedih mata di dalam kawasan tertutup sekaligus menyalahi garis panduan stadium yang ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.