TikTok: Pegawai Polis Narkotik dipindahkan – Razarudin
KUALA LUMPUR, 27 April – Seorang pegawai polis wanita daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang membuat rakaman video secara langsung menerusi aplikasi TikTok ketika operasi di sebuah pusat hiburan kini dipindahkan ke jabatan lain.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain ketika dihubungi Bernama pagi ini mengesahkan perkara berkenaan dan memaklumkan pegawai polis wanita itu akan berpindah ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Pada Isnin lepas, Pengarah JSJN Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menyifatkan tindakan pegawai polis berkenaan menerusi akaun TikTok miliknya bersifat peribadi dan hanya bertujuan untuk mempromosikan akaun TikToknya.
Terdahulu, tular satu video berdurasi satu minit 38 saat yang memaparkan pegawai wanita berpakaian jaket seragam operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat ASP menerangkan tentang sebahagian skop kerjanya menjalankan serbuan dan pemeriksaan.
PDRM sebelum ini telah mengeluarkan tiga arahan mengenai tatacara penggunaan media sosial iaitu pada Mei 2014, Ogos 2020 dan Februari 2021 selain tindakan sedemikian tidak dibenarkan.
Berikutan itu, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman diarah membuat siasatan secara menyeluruh berhubung kes berkenaan.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.