
TIKTOK CHALLENGE MELAKA DILANJUTKAN SEHINGGA 30 JUN
AYER KEROH 24 Januari – Pertandingan TikTok Challenge ‘Mana Lagi Melakaler’ yang dilanjutkan hingga 30 Jun depan dijangka mencapai 3,000 penyertaan.
Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata setakat ini, sebanyak 334 penyertaan telah diterima sejak pertandingan itu dibuka pada 1 November 2024.
“Penyertaan setakat ini menggalakkan dan penyertaan yang diterima adalah daripada pelbagai latar belakang pekerjaan, bangsa dan usia.
“Tempoh perlanjutan ini adalah bagi memberi peluang kepada lebih banyak penyertaan, di samping Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh turut mahu melibatkan lebih ramai masyarakat menyertai pertandingan ini.
“Pertandingan ini bukan hanya sekadar untuk memenangi hadiah tetapi menjadi platform untuk Kerajaan Negeri mempromosikan tarikan pelancongan dan kebudayaan setempat yang kurang diberi perhatian sebelum ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Mohd Noor Helmy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong berkata, jawatankuasa kerja pertandingan akan turun padang dan membantu peserta yang memerlukan bantuan.
“Ia termasuklah dari segi pendaftaran pertandingan atau mempelajari cara memuat naik kandungan mereka.
“Kerajaan Negeri juga berhasrat menambah tawaran hadiah, namun perinciannya akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.