Tiket bas balik raya habis!
BANDARAYA MELAKA 12 April – Perantau di Melaka yang ingin pulang ke Pantai Timur dan Utara Semenanjung Malaysia pada Aidilfitri ini dengan menaiki bas ekspres mungkin boleh melupakan hasrat tersebut.
Ia berikutan tiket bas bagi perjalanan ke destinasi berkenaan sudah habis dijual.
Tinjauan Melaka Hari Ini di Melaka Sentral mendapati notis pemakluman bertulis ‘tiket habis’ sudah mula dipasang di kaunter-kaunter yang terdapat di kawasan itu.
Menurut kakitangan Melaka Sentral Wan Mohd Firdous Wan Ngah, buat masa ini tiket bas bagi perjalanan ke Pantai Timur membabitkan negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula 27 April dan ke atas sudah habis sejak minggu lalu.
Malah, katanya, tiket bas ke Utara (Kedah, Pulau Pinang dan Perlis) turut ‘licin’ bagi perjalanan 29 April sehinggalah Aidilfitri nanti.
“Sebaik dibuka sambutan pembelian tiket bas memang sangat menggalakkan. Boleh dikatakan dalam tempoh seminggu sahaja banyak (tiket) yang sudah habis.
“Difahamkan, tiada perancangan daripada syarikat bas ekspres untuk menambah bas lagi bagi perjalanan ke Pantai Timur dan Utara buat masa ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Hasil pemerhatian sekitar 12 tengah hari tadi mendapati suasana di Melaka Sentral kelihatan terkawal dengan tidak ramai orang beratur bagi mendapatkan tiket pulang beraya.
Difahamkan, ia disebabkan orang sudah bersedia lebih awal sebaik kerajaan mengumumkan peralihan ke fasa endemik bermula 1 April lalu yang menyaksikan lebih banyak kelonggaran diberikan.
Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut beberapa kali memberi jaminan bahawa rakyat boleh pulang ke kampung menyambut hari raya, meskipun situasi COVID-19 dalam negara masih berada di tahap berjaga-jaga.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.