Tiga ‘shuttle bus’ percuma untuk pengunjung malam 31 Disember
AYER KEROH 27 Disember – Panorama Melaka Sdn Bhd menyediakan sebanyak tiga bas perantara (shuttle bus) percuma pada 31 Disember ini bagi memudahkan pengunjung menyambut ambang tahun baharu dan pelancaran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Pengurus Besar Panorama Melaka, Rohazam Bakar berkata, bas berkenaan ditempatkan di hadapan SME Bank Taman 1 Lagenda dan pengunjung boleh mula menunggu bas di kawasan itu pada jam 6 petang.
“Mereka boleh parkir kenderaan di Taman 1 Lagenda dan menaiki bas ‘shuttle’ ini sebelum bas bergerak pada jam 6.30 petang ke Stesen Monorel Jalan Tun Ali.
“Jangan risau tentang aliran trafik bas ini kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat telah menyediakan satu laluan khas untuk bawa penumpang sampai ke stesen monorel tersebut.
“Pengunjung juga tidak perlu risau untuk tunggu lama bas ini kerana setiap bas boleh memuatkan seramai 40 penumpang, kita akan pastikan bas ini bergerak setiap masa,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Katanya, bagi pengunjung yang ingin balik ke kawasan parkir kenderaan, mereka boleh menunggu di stesen monorel tersebut selewatnya pada jam 1 pagi.
“Kalau mereka nak balik pun sama juga, berkumpul di Stesen Monorel Tun Ali dan bas kita akan bawa mereka di kawasan parkir itu semula, waktu akhir untuk naik bas ini adalah pada jam 1 pagi.
“Kita harap usaha ini dapat melegakan para pengunjung yang datang ke Melaka sekali gus melancarkan aliran trafik pada hari tersebut.
“Insya-Allah kita sedang berusaha untuk mendapatkan bas-bas mini yang lain jika ada untuk digunakan juga pada hari sambutan itu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.