Tiga sekeluarga maut dalam kemalangan di LPT2

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

DUNGUN, 26 Julai – Tiga sekeluarga termasuk seorang bayi berusia dua bulan maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 375.8, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Bukit Besi, petang semalam.

Dalam kejadian pada 6.25 petang itu, mangsa yang maut ialah Raja Nurhanani Nabila Raja Hussin, 23, dan bayinya, Nik Muhammad Zayyan Irfan Zulhilmi Ismail serta ibu Raja Nurhanani Nabila, Noreha Mohamed, 53.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Baharudin Abdullah berkata kemalangan berlaku apabila kereta yang dinaiki tiga mangsa bersama dua lagi anggota keluarga hilang kawalan lalu terbabas melanggar kotak pembetung yang ada di sebelah kiri jalan dan terbalik.

Beliau berkata ketika kejadian lima sekeluarga berkenaan dalam perjalanan menghantar Raja Nurhanani Nabila pulang ke rumah suaminya di Kem Tentera Darat Batu 10, Kuantan dari kampung mereka di Wakaf Bharu, Kelantan.

“Dua lagi anggota keluarga iaitu adik kepada Raja Nurhanani Nabila, Raja Haikal Najmi, 20, dan Raja Nurhumairaa Nadzirah, 17, yang cedera parah dikejarkan ke unit kecemasan Hospital Dungun sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

“Jenazah Noreha dan Nik Muhammad Zayyan dihantar ke Hospital Dungun untuk tindakan selanjutnya, manakala jenazah Raja Nurhanani Nabila dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi.

Baharudin berkata ketika kemalangan cuaca gelap dan keadaan jalan raya basah selepas hujan lebat, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2527
Kongsi :
Previous post Konsert Muse tak jejas proses penggantian rumput padang SNBJ
Next post 9 lokasi di MPHTJ dilengkapi CCTV
Ubah saiz-+=