Tiga projek PR1MA Melaka siap 2024
KESIDANG 22 September – Kesemua projek Perumahan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang berstatus ‘sakit’ di Negeri Melaka dijangka siap sepenuhnya pada tahun hadapan.
Perumahan sakit berkenaan membabitkan Projek Residensi Klebang 2, Projek Residensi Melaka Tengah 2 dan Projek Residensi Bukit Katil.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Projek Residensi Klebang dan Projek Residensi Melaka Tengah 2 dijangka siap lebih awal iaitu pada suku pertama 2024.
Katanya, Projek Residensi Bukit Katil pula dijangka akan siap pada penghujung 2024 yang mana kerja-kerja struktur sudah dimulakan di Blok A.
“Setakat 15 September lalu Projek Residensi Klebang dan Projek Residensi Melaka Tengah 2, sudah mencapai kemajuan yang lebih awal berbanding yang dijadualkan iaitu dengan status siap antara 93 hingga 98 peratus.
“Berdasarkan kemajuan kedua-dua projek ini boleh siap hujung tahun ini tetapi (ada) kekangan lain, jadi kita jangkakan ia akan siap sepenuhnya pada suku pertama 2024.
“Usaha ini adalah hasil kerjasama PR1MA dan Taskforce Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) yang komited untuk menyiapkan kesemua projek dalam pembinaan di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Projek Residensi Melaka Tengah 2, turut dihadiri Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Thiong, di Pokok Mangga, di sini, hari ini.
Menurutnya, nilai pembangunan kasar untuk ketiga-tiga projek perumahan PR1MA itu membabitkan jumlah RM503,755,463.
“Selain itu juga PR1MA turut memperuntukkan pembayaran ganti rugi iaitu Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) berjumlah kira-kira RM17,070,000 membabitkan kesemua tiga projek terbabit.
“Malah ada antara pembeli yang sudah menerima pembayaran awal LAD ini bagi meringankan beban kewangan mereka susulan kelewatan projek disiapkan,” katanya.
Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata, PR1MA juga berjaya memulihkan sembilan daripada 22 projek sakit atau bermasalah seluruh negara sehingga 31 Julai lalu.
“Kini kita menyasarkan untuk menyelesaikan 13 lagi projek sakit yang merangkumi 9,528 unit kediaman sehingga tahun hadapan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.