
TIGA PPD MELAKA TERIMA SUMBANGAN RM30,000 DARIPADA PERDANA MENTERI
BUKIT KATIL 17 Februari – Tiga Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Melaka menerima sumbangan sebanyak RM30,000 daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha membantu murid dan pelajar memerlukan di negeri ini.
Setiausaha Politik Kanan Kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, tiga PPD tersebut adalah PPD Melaka Tengah, PPD Jasin dan PPD Alor Gajah.
Katanya, setiap PPD terbabit menerima bantuan sebanyak RM10,000 dan boleh digunakan untuk disalurkan kepada keluarga kurang berkemampuan pada sesi persekolahan tahun ini.
“Agihan sumbangan ini diserahkan kepada kebijaksanaan PPD, saya percaya agenda Kerajaan MADANI adalah untuk meringankan beban rakyat.
“Langkah ini seiring dengan cogan kata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ‘Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara, Negara Sejahtera’. Saya harap perkara ini dapat dicapai untuk membantu golongan yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Melawat Hari Pertama Pembukaan Sekolah Kalender Akademik Sesi 2025/2026 yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha (KSU) KPM di SK Jalan Datuk Palembang, Bukit Baru di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Ruji Ubi dan Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka, Mahfudzah Mohamed Noor.
Terdahulu, Shamsul Iskandar turut meluangkan masa bagi meninjau hari pertama persekolahan Kumpulan B di sekolah tersebut.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.