Tiga penjenayah geng centro maut selepas berbalas tembakan dengan polis
Dua lelaki warga Vietnam dan seorang warga Bangladesh masing-masing berusia 36, 44 dan 38 tahun itu ditemukan maut di dalam kenderaan jenis Proton Waja, dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata di awal kejadian sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Pahang telah mengesan kereta berkenaan dalam keadaan mencurigakan di kawasan Lembaga Kemajuan Negeri Pahang, Pekan.
Beliau berkata suspek diminta untuk berhenti bagi tujuan pemeriksaan, namun mereka yang dipercayai dalam perjalanan untuk melakukan jenayah di Pekan itu kemudiannya bertindak memecut kenderaan untuk melarikan diri.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, suspek menghimpit serta melanggar belakang kenderaan polis sehingga kereta suspek terhenti, dan ketika polis hendak membuat pemeriksaan, secara tiba-tiba suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.
“Bagi tujuan mempertahankan diri pihak polis membalas tembakan sehingga suspek tumpas, dan susulan pemeriksaan di dalam kereta, polis menemukan sepucuk pistol jenis Glock 17 beserta tujuh peluru dan tiga kelongsong peluru,” katanya pada sidang media di IPK Pahang di sini, hari ini.
Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan dimiliki warga Bangladesh itu membawa kepada penemuan beberapa barangan seperti mesin gerudi dan mesin grinder, parang serta tukul besi.
Yahaya berkata dua lelaki warga Vietnam itu mempunyai pasport dan memasuki negara ini sebagai pelawat, manakala siasatan lanjut latar belakang suspek warga Bangladesh masih dijalankan.
Beliau berkata modus operandi yang digunakan penjenayah ini adalah memecah masuk kedai emas melalui pintu hadapan atau belakang serta menebuk peti besi menggunakan mesin grinder sebelum melarikan barang berharga.
Dengan tertumpasnya geng berkenaan, Yahaya berkata polis berjaya menyelesaikan enam kes samun dan pecah masuk kedai emas sejak Jun 2023 iaitu masing-masing satu di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang manakala tiga kes di Perak.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.