Sorting by

×

Tiga pelajar, dua penganggur didakwa berhimpun tanpa memakai pelitup muka

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

BATU PAHAT 14 Julai – Tiga pelajar dan dua penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan melakukan aktiviti terlarang dengan menyertai perhimpunan tanpa memakai pelitup muka di Parit Raja, dua bulan lalu.

Muhammad Farhan Mhd Basri, Nur Muhamad Afif Norazam, Faizul Naim Ahmad, Muhamad Al Azim Abd Rasid dan Muhamad Hafizul Helmi Zailan, berumur antara 19 hingga 23 tahun itu, membuat pengakuan berkenaan ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohd Syafiq Mustaza.

Kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di persimpangan lampu isyarat Parit Raja, dekat sini pada 2 pagi, 13 Mei lalu.

Mereka dituduh mengikut Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempat jangkitan) 2021, yang boleh dihukum di bawah Peraturan 17 (1) Peraturan sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos menawarkan jaminan RM6,000 seorang, namun peguam Mohd Fared Mohd Khalid yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan tiga daripada mereka masih belajar manakala dua lagi tidak bekerja.

Majistret kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 26 Ogos depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

375
Kongsi :
Previous post Terima deposit pelaburan tidak wujud, lelaki berdepan denda RM150 juta
Next post (Eksklusif) Polis tahan 11 suspek Geng 04, kesan dua lelaki bantu siasatan
Ubah saiz-+=