Tiga negeri Jelapang Padi Selatan
SERI NEGERI 6 Mac – Kerajaan Negeri bercadang untuk mewujudkan Jelapang Padi Selatan yang menggabungkan Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, cadangan itu akan dibawa kepada Kerajaan Pusat menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Dr. Muhamad Akmal berkata, bagaimanapun Kerajaan Negeri perlu mewartakan terlebih dahulu tanah sawah padi seluas 1,385 hektar di negeri ini menerusi satu kajian bersama Jabatan Pertanian Negeri Melaka yang dijangka selesai pada tahun ini.
“Bila sudah wartakan sebagai tanah sawah, maka kita boleh cadangkan kepada Kerajaan Pusat menerusi KPKM untuk kita gazetkan Melaka sebahagian daripada cadangan mewujudkan jelapang padi tersebut.
“Ia akan melibatkan Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, jika tidak dilaksanakan kita khuatir dalam tempoh 10 tahun akan datang kita akan mengalami masalah kemorosotan pengeluaran padi.
“Hari ini kita lihat Negeri Melaka hanya 9.2 peratus sahaja sasaran kadar sara diri (SSR), sudah tentu penyelesaikan untuk jangka panjang adalah dengan mewartakan tanah sawah padi.
“Bagi mewujudkan jelapang padi perlu ada keluasan tanah sawah minimum 5,000 hektar, Melaka tidak cukup tanah sawah jadi ia mesti melibatkan tiga negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Muhamad Akmal berkata kewujudan jelapang padi itu bagi memastikan tanah sawah padi yang ada dapat dikekalkan dalam tempoh 10 tahun ke hadapan.
“Kelebihan jelapang ini segala sumber untuk sawah padi ini akan diberikan kepada jelapang dahulu, termasuk bekalan benih, baja dan peruntukan pengairan berbanding sawah-sawah berada luar jelapang padi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.