Sorting by

×

Tiga lelaki terbabit kes pecah dobi layan diri ditahan

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

SUNGAI UDANG 23 Feb – Tiga lelaki ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kes pecah kedai dobi layan diri dan melarikan wang tunai RM300 di Plaza Sungai Udang di sini, Sabtu lalu.

Semua suspek berusia 26 hingga 33 tahun itu ditahan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dalam serbuan di tiga lokasi berasingan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemilik premis berusia 53 tahun pada jam 7.30 pagi Sabtu lalu, memaklumkan kedai dobi miliknya di plaza berkenaan terdapat kesan pecah.

KETUA Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad

Katanya, siasatan awal polis mendapati selak pintu kayu dan mangga mempunyai kesan kopak manakala mesin tukar wang diumpil dan duit syiling di dalamnya hilang.

“Pengadu turut memaklumkan mesin urut di bahagian hadapan kedai turut pecah dan kehilangan wang yang jumlahnya belum dikenal pasti.

“Pemeriksaan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati dua lelaki tidak dikenali menaiki motosikal jenis skuter menghampiri premis berkenaan.

“Menerusi CCTV itu, seorang daripadanya menunggu di motosikal manakala seorang lagi memasuki premis dan melakukan kegiatan jenayah itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

KEDAI dobi layan diri di Plaza Sungai Udang yang dipecah masuk oleh dua suspek pada Sabtu lalu.

Menurut Afzanizar, susulan itu pihaknya menahan lelaki berusia 26 tahun di sebuah rumah di Taman Terendak Permai pada jam 3.30 petang hari sama dan lelaki berusia 29 tahun di sebuah rumah kedai cuci kereta di pekan Sungai Udang 15 minit kemudian.

Jelasnya, dalam kedua-dua serbuan itu, polis turut merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk pecah kedai termasuk kotak alat (tool box) mengandungi dua spana dan pahat serta mesin gerudi.

“Susulan itu, seorang lagi lelaki berusia 33 tahun dipercayai pembeli gerudi curi yang mempunyai kaitan dengan dua suspek berkenaan turut ditahan di rumahnya di Taman Keris Emas pada jam 5 petang.

“Hasil semakan mendapati suspek pertama dan kedua masing-masing mempunyai dua rekod lampau membabitkan dadah dan jenayah manakala suspek ketiga mempunyai lapan rekod lampau membabitkan dadah,” katanya.

Afzanizar berkata, ketiga-tiga suspek direman empat hari sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana melakukan curi dalam bangunan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

844
Kongsi :
Previous post Sulaiman tinjau ladang cili Yayasan Melaka
Next post Kuim laksana program kesihatan di dua PPR
Ubah saiz-+=