Sorting by

×

Tiga kuil dibuka untuk Thaipusam di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 13 Jan – Kerajaan negeri menetapkan hanya tiga kuil dari setiap daerah sahaja dibuka untuk perayaan Thaipusam pada 18 Jan ini.

Exco Perpaduan Ngwe Hee Sem berkata, tiga kuil berkenaan adalah Kuil Sri Subramaniar Devasthanam Batu Berendam (daerah Melaka Tengah), Kuil Dewa Sri Bala Thendayuthabani Simpang Ampat (daerah Alor Gajah) dan Kuil Sri Subramaniar Sri Maha Mariamman Serkam (daerah Jasin).

Menurutnya, kuil berkenaan juga hanya dibenarkan melakukan upacara ‘Paal Koodam’ atau membawa belanga berisi susu sahaja sempena perayaan itu tahun ini.

“Selain itu, kerajaan negeri juga hanya membenarkan kapasiti 50 peratus penganut Hindu hadir ke kuil mengikut kapasiti rumah ibadat itu.

“Setiap pengunjung yang hadir perlu didaftarkan dan dikenakan penanda (tag) oleh penganjur setelah mendapat kebenaran dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) masing-masing.

“Setiap upacara yang diadakan hanya dijalankan di dalam kawasan kuil sahaja dengan mematuhi penjarakan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

NGWE Hee Sem

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebarang perarakan adalah tidak dibenarkan sama sekali bagi mematuhi SOP yang telah ditetapkan kerajaan.

Katanya, walaupun beberapa beberapa kuil di negeri ini telah membuat permohonan untuk mengadakan perarakan, namun ia tidak dibenarkan sama sekali.

“Kita menerima permohonan terbabit namun ia tidak dibenarkan bagi mengelakkan sebarang kejadian terutama dalam usaha mengekang pandemik COVID-19.

“Kita harap dalam merayakan perayaan di negara yang mempunyai kepelbagaian budaya dan kaum ia dapat dipatuhi oleh semua penganut dan penganjur bagi mengekang penularan COVID-19 terutamanya dari varian baharu Omicron,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3752
Kongsi :
Previous post Kerajaan tetap harga borong, runcit dua vaksin
Next post 100 mahasiswa UTeM sahut cabaran daki Bukit Satria
Ubah saiz-+=