Tiga kapal OPV masih dalam pembinaan-Maritim Malaysia
PUTRAJAYA, 13 September – Tiga kapal peronda luar persisir (OPV) yang sepatutnya diterima Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada 2020 masih dalam pembinaan, demikian menurut Maritim Malaysia hari ini.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som dalam satu kenyataan hari ini berkata kapal OPV itu sedang dibina oleh syarikat tempatan iaitu THHE Destini Sdn Bhd yang terletak di Pulau Indah, Selangor.
“Pandemik COVID-19 yang melanda negara sebelum ini turut menyumbang kepada kelewatan penyerahan kapal-kapal tersebut kepada Maritim Malaysia,” katanya mengenai status semasa pembinaan OPV Maritim Malaysia.
Beliau berkata kapal OPV 1 yang dijadual dilancarkan ke air pada hari ini (13 Sept) masih gagal dilakukan kerana kapal masih tidak berjaya dibawa ke lokasi pelancaran.
Menurut Mohd Zubil, pihak syarikat akan mengubah cara pelancaran daripada ‘Launching Cradle’ kepada sistem pelancaran ‘Air Balloon’ yang dijangka dilakukan pada 10 Okt depan.
“Sekiranya semua berjalan dengan lancar dan jika pelancaran ini dapat direalisasikan pada tarikh tersebut, besar kemungkinan kapal OPV 1 dapat diserahkan kepada pihak Maritim Malaysia pada awal 2023,” katanya.
Mohd Zubil berkata kapal OPV 2 dan OPV 3 pula akan diserahkan secara berperingkat.
“Adalah besar harapan agensi ini agar ketiga-tiga kapal dapat disiapkan dan diserahkan kepada Maritim Malaysia dengan kadar segera walaupun ia telah dua tahun melewati dari tarikh asal penyerahan.
“Ketiga-tiga kapal OPV ini amat diperlukan oleh Maritim Malaysia pada masa kini bagi menguatkuasakan undang-undang di dalam perairan negara,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.