TIGA INSTITUSI TVET TERJEJAS BANJIR SEGERA DIBAIKI – AHMAD ZAHID

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

DURIAN TUNGGAL 4 Disember – Tiga institusi pengajian yang menawarkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terjejas banjir di Kelantan akan segera dibaiki, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, institusi yang terjejas adalah Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Pasir Mas, GiatMARA Pasir Mas dan GiatMARA Tumpat yang masing-masing berdepan kerosakan fasiliti yang agak teruk.

“Setakat ini ada tiga institusi terjejas, kita akan segera memperbaiki dan antara kerosakan dilaporkan adalah melibatkan perabot dan peralatan latihan, manakala Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat pula dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup JELITA@KPT Summit 2024 di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dan lain-lain barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, satu langkah lebih proaktif sedang dan akan dilaksanakan dalam usaha meningkatkan jumlah wanita dalam bidang TVET.

“Jurang yang wujud sangat ketara iaitu hanya 30 peratus wanita terlibat dalam bidang TVET, ini adalah ‘wake up call’ untuk kita mengambil langkah lebih tuntas dan agresif dalam memperkasakan wanita dalam bidang TVET.

“Lebih banyak usaha strategik dirancang termasuk membuka ruang untuk wanita terlibat dalam pekerjaan berkemahiran dan berteknologi tinggi sekali gus mengatasi cabaran budaya, stigma dan struktural tradisional yang sering menjadi kekangan penyertaan wanita dalam sektor TVET,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

61
Kongsi :
Previous post SASAR 3,000 SERTAI JELITA SETIAP TAHUN – TPM
Next post MANEK SULAMKAN SI AYER MATA, ANGKAT SENI HALUS KASUT MANIK
Ubah saiz-+=