Tiga Geng Ayip Gagap dihadapkan ke mahkamah
AYER KEROH, 24 NOV.- Tiga ahli kumpulan ‘Geng Ayip Gagap’ termasuk seorang anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas 12 pertuduhan mencuri, menjual dan melupuskan motosikal curi.
Bagaimanapun, kesemua tertuduh Muhammad Fariq Abd Ghani, 24, Mohd Iswadi Nordin, 32, dan Mohd Faris Aisar Nordin, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dalam dua prosiding berasingan dihadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh dan Mazana Sinin.
Bagi lapan pertuduhan terhadap Muhammad Fariq, dia didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan (KK) kerana menyembunyikan, membuang rangka motosikal dan menjual motosikal curi, Seksyen 411 KK kerana dengan curang memiliki rangka motosikal, Seksyen 379A KK kerana mencuri motosikal dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana memiliki sepasang sportrim motosikal, kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di Taman Peringgit Jaya, Peringgit antara 27 Jun 2018 sehingga 30 Oktober 2020.
Tertuduh juga didakwa, menggalang penjawat awam iaitu pegawai polis berpangkat Inspektor dengan tidak memberikan kerjasama oleh itu dia didakwa mengidkut Seksyen 186 KK yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda maksimum RM10, 000 atau kedua- duanya jika sabit kesalahan.
Malah, dia turut didakwa dibawah Peraturan 25(1)(a) Peraturan- Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda tidak lebih RM20, 000 kerana gagal mengemukakan kad pengenalan kepada pegawai polis.
Mohd Iswadi pula yang juga anggota tentera didakwa dengan dua pertuduhan iaitu mengikut Seksyen 414 KK kerana membuang rangka motosikal curi dan melupuskan harta curi.
Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh antara jam 4.20 hingga 5.45 petang pada 2 November 2020.
Manakala Mohd Faris Aisar pula didakwa dengan curang memiliki sebuah motosikal yang dilaporkan hilang oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 411 KK dan perbuatan itu dilakukannya pada 30 Oktober 2020.
Terdahulu, prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raudhah Mazman
manakal kesemua tertuduh yang diwakili peguam Datuk Arravin Raj dan Zulkifli Zakaria memohon jaminan minima dikenakan terhadap anak guam mereka.
Selepas mendengar hujah kedua- dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM6, 600 keatas Muhammad Fariq, RM2, 500 keatas Mohd Iswadi dan Mohd Faris Aisar sebanyak RM1, 800 selain menetapkan 11 dan 26 Januari depan tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen.
Melaka Hari Ini pada 13 November lalu melaporkan tujuh lelaki termasuk dalang utama Geng Ayip Gagap berusia 19 hingga 32 tahun, yang aktif melakukan kegiatan curi motosikal di daerah ini sejak September lalu tumpas dalam serbuan berasingan di sekitar Daerah Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.
Serbuan yang dilakukan dalam beberapa siri tangkapan berasingan sejak 29 Oktober lalu oleh sepasukan pegawai polis dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah turut menemukan sembilan motosikal di sebuah rumah di Peringgit Jaya dan lapan rangka motosikal yang dibuang di Sungai Ayer Salak, berhampiran Bukit Rambai dekat sini.