
TIGA FOKUS UTAMA PERKASA KEMAS MELAKA
TELOK MAS 27 FEBRUARI – Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Melaka perlu memperkasakan gerak kerja berimpak tinggi bagi pembangunan masyarakat luar bandar.
Ketua Menteri Datuk Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bagi menuju ke arah itu tiga fokus utama digariskan dan perlu dilaksanakan oleh KEMAS Melaka.
“Pertama KEMAS Melaka perlu ada sistem penyampaian lebih efisien menerusi transformasi digital dengan menyediakan akses mesra pengguna.
“Kedua memperkasa ekonomi dan keusahawanan warga desa dengan melakukan anjakan strategik bersama komuniti setempat, agensi kerajaan dan sektor swasta.
“Manakala ketiga, transformasi organisasi yang lebih dinamik seperti penambahbaikan skim penjawatan serta pentaulihan dan kelayakan tenaga pengajar harus diberi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemerkasaan Masyarakat MADANI KEMAS Negeri Melaka di Dewan Pusat Kegiatan Masyarakat Telok Mas di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Ketua Pengarah KEMAS Datuk Mohd Hanafiah Man dan Pengarah KEMAS Melaka Asri Saleh.
Mengulas lanjut Ab Rauf berkata program pembangunan profesional yang berterusan juga perlu dilaksanakan untuk memastikan pendidikan diberi memenuhi keperluan semasa.
“Ia selaras dengan perkembangan teknologi serta garis panduan ditetapkan yang memfokuskan kepada sektor pendidikan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.