Sorting by

×

Tiga elemen Sungai Melaka Fasa 2 akan disiapkan – KM

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

BANDARAYA MELAKA 14 Februari – Kerajaan Negeri berharap Projek Pembersihan dan Pengindahan Sungai Melaka Fasa 2 Pakej 1 dapat disiapkan sempena Tahun Melawat Melaka 2024.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata sekurang-kurangya tiga daripada 17 elemen bagi projek itu dapat disiapkan sekali gus menambah produk pelancongan baharu di negeri ini.

“Tadi saya semak ada 17 komponen perlu dibaiki untuk pakej pertama ini, agensi terlibat maklumkan saya, apabila serah sahaja surat setuju terima atau serah tapak, ia akan mengambil masa selama 18 bulan untuk siap sepenuhnya.

“Pertengahan tahun 2025 nanti dijangka siap keseluruhannya, tetapi disebabkan Tahun Melawat Melaka 2024, saya minta pihak kementerian yang terlibat kalau boleh bagi keutamaan untuk siapkan dua atau tiga komponen lebih awal.

“Saya rasa ini boleh menambahkan lagi produk-produk pelancongan negeri Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024,” katanya pada sidang media selepas mengadakan Lawatan ke Sungai Melaka Fasa II di sini, hari ini.

photo1676361986
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali pada sidang akhbar ketika mengadakan Lawatan Kerja ke Sungai Melaka Fasa II di Kampung Pengkalan Rama Pantai, Melaka. Foto: MR. AZLI

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman dan lain-lain wakil agensi dan jabatan kerajaan terlibat.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata setakat ini hanya 20 peratus kerja-kerja pengindahan dan pembersihan projek Sungai Melaka Fasa 2 Pakej 1 tersebut masih belum siap.

“Kontraktor terakhir yang kita serahkan untuk menyiapkan projek ini adalah pada 29 Julai 2022, namun disebabkan perubahan kerajaan kerja-kerja ini terpaksa dibatalkan mengikut saranan Perdana Menteri.

“Tetapi untuk menyiapkan kembali semua kerja ini Kerajaan Pusat bersetuju membuka tender untuk menyiapkan baki kerja projek ini, saya difahamkan tender akan keluar pada bulan Mac dan penyediaan tender mengambil masa tiga bulan.

“Jadi hari ini saya turun untuk memantau kerja-kerja menyiapkan keseluruhan baki kerja projek pengindahan dan pembersihan sungai ini bagi pakej yang pertama,” katanya.

Jelas Sulaiman, peruntukan bagi kerja-kerja berkenaan disediakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

“Jika ianya berjalan seperti biasa mengikut seperti yang dirancang, saya ingat tiada masalah, peruntukan adalah di bawah KASA,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1916
Kongsi :
Previous post TYT, warga UNIMEL pupuk gaya hidup sihat
Next post MPHTJ rangka kaedah baharu selesai aduan penduduk
Ubah saiz-+=