Sorting by

×

TIGA DEKAD BERLALU, UNIMEL SEMAKIN DEWASA

Masa Membaca:4 Minit, 3 Saat

KUALA LINGGI 6 Disember – Sejak penubuhannya tiga dekad lalu Universiti Islam Melaka (UNIMEL) sudah melahirkan seramai 20,390 orang graduan dalam pelbagai bidang yang memehuni kehendak pasaran industri semasa.

Lebih membanggakan ada dalam kalangan graduan UNIMEL kini menjadi antara ahli akademik yang menyumbangkan buah fikiran dan kemahiran yang membantu proses pembangunan Negeri Melaka dan Malaysia umumnya.

Sementara itu berdasarkan rekod semasa, lebih 80 peratus graduan UNIMEL mendapat pekerjaan selepas enam bulan tamat pengajian, manakala bagi 20 peratus lagi menyambung pengajian atau menjalankan perniagaan sendiri.

Naib Canselor UNIMEL Prof. Datuk Dr. Mohd Taib Dora berkata, pada Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-26 berlangsung di Dewan Cancelor, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Ahad ini, UNIMEL melahirkan 700 lagi graduan.

Katanya, istiadat konvokesyen UNIMEL ke-26 yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, merangkap Canselor UNIMEL, membabitkan seramai empat graduan ijazah doktor falsafah (PhD), ijazah sarjana (7), ijazah sarjana muda (122) dan diploma (567) daripada enam fakulti serta sebuah pusat pengajian siswazah.

6235733502779836434

NAIB Canselor UNIMEL, Prof. Datuk Dr. Mohd Taib Dora menunjukkan pengiktirafan diploma pada Jeju Local Cuisine Competition & WACS International Culinary Competition di Korea Selatan yang dimenangi pensyarah dan penuntut UNIMEL. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Menurutnya, tahun ini usia UNIMEL genap 30 tahun, bermula dengan penubuhan Kolej Islam Melaka di bawah Enakmen Kolej Islam Melaka pada 4 dan 5 Mei 1994, seterusnya dinaik taraf kepada Kolej Teknologi Islam Melaka (KTIM) pada 2001 dan kemudian Kolej Teknologi Islam Antarabangsa Melaka (KTIAM) pada 2005.

Jelasnya, KTIAM kemudian dinaik taraf kepada Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) pada Julai 2009. KUIM dinaik taraf sebagai universiti penuh pada 8 April 2021 dan penubuhan UNIMEL diluluskan pada 10 Februari 2022.

“Pelbagai kejayaan diraih sepanjang tiga dekad ini, terbaharu dan membanggakan adalah anugerah berprestij 2024 Employers’ Choice Of University anjuran Telentbank, November lalu, sekali gus membuktikan permintaan terhadap graduan UNIMEL adalah amat menggalakkan dalam kalangan majikan di negara ini.

“Baru-baru ini juga pensyarah dan penuntut UNIMEL berjaya menggondol pengiktirafan diploma pada Jeju Local Cuisine Competition & WACS International Culinary Competition dianjurkan di Korea Selatan,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini pada wawancara khas sempena Istiadat Konvokesyen ke-26 UNIMEL.

Beliau berkata, selain melahirkan graduan berkualiti, pensyarah UNIMEL juga aktif dalam aktiviti akademik seperti menterjemah karya agung Fiqh Zakat karangan Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi yang menjadi rujukan utama dalam bidang zakat ke Bahasa Melayu.

Pada masa yang sama katanya, UNIMEL dari semasa ke semasa terus memperkasakan peranan Institut Kajian Tuah (IKAT) dengan melaksanakan pelbagai aktiviti kajian berkenaan sejarah, warisan dan ketamadunan Kesultanan Melayu Melaka serta pahlawan tersohor dunia, Laksanama Hang Tuah.

“IKAT adalah hasil cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, bagi memperkasakan lagi peranan institusi ini kami dalam perancangan untuk menawarkan program penyelidikan peringkat ijazah sarjana (master) dan PhD menerusi kerjasama negara seperti Portugal, Belanda dan United Kingdom yang mempunyai kaitan sejarah dengan Negeri Melaka.

“Kami bercadang untuk wujudkan kerusi pengajian berdasarkan negara tersebut yang akan ditempatkan di bawaH IKAT, dana penyelidikan juga akan diuruskan oleh IKAT,” katanya.

Berkongsi mengenai perancangan akan datang, beliau berkata, UNIMEL kini terarah kepada usaha untuk meningkatkan jumlah pelajar tempatan dan asing yang ketika ini seramai 3,200 orang kepada 5,000 penuntut pada 2025.

Bagi tujuan itu, Dr. Mohd Taib berkata, UNIMEL melaksanakan beberapa perancangan seperti menawarkan pembelajaran secara ‘Open Distance Learning’ (ODL), Micro-Credential, Akreditasi Pembelajaran Pengalaman Terdahulu (APEL) dan menambah jumlah ‘learning centre’ luar negara.

“Pada 2025 kita menyasarkan jumlah pelajar antarabangsa akan meningkat kepada 500 orang berbanding 150 sahaja ketika ini. Bagi learning centre sudah ada di Singapura dan Sabah, kita akan tambah lagi, alhambulillah ada negara yang menyatakan minat.

“Antara yang berminat adalah Thailand, Indonesia, Sri Lanka dan Bosnia Herzegovina. Pembukaan kampus bandar juga antara usaha kami untuk meningkatkan lagi jumlah pelajar UNIMEL pada masa akan datang,” katanya.

6235733502779836439

KAMPUS Universiti Islam Melaka (UNIMEL) di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Mengulas mengenai perkembangan semasa Dr. Mohd Taib berkata, kaedah pembelajaran Micro-Credential adalah salah satu peluang dibuka kepada orang ramai berminat untuk menambah kemahiran sesuai dengan saranan kerajaan agar rakyat menguasai bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Ketika ini timbul isu ramai lepasan sekolah yang cenderung untuk aktif dalam ekonomi gig, namun perlu ingat bahawa pendidikan kemahiran dan akademik juga amat penting dalam menentukan corak kehidupan individu pada masa akan datang.

“Berikutan itu kursus jangka pendek menerusi Micro-Credential seperti Care Giver, Pospartum Wellness, penyembelihan, penyediaan dokumen perjanjian, bengkel komunikasi, kulinari dan pengiklanan digital amat sesuai untuk mereka yang aktif dalam ekonomi gig.

“UNIMEL kami menawarkan corak pengajian fleksibel, mungkin kursus jangka pendek yang dinyatakan adalah pembuka jalan atau minat untuk mereka ini menyambung pengajian ke peringkat diploma dan seterusnya PhD,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

176
Kongsi :
Previous post JARINGAN JALAN BAHARU PERSIARAN KOTA SYAHBANDAR – KLEBANG
Next post SOLARMEL, PAKEJ PANEL SOLAR BUMBUNG RUMAH TERMURAH UNTUK ORANG MELAKA
Ubah saiz-+=