Tiga cedera selepas pulang bantu lancarkan kemalangan

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

JASIN 17 November – Tiga cedera termasuk seorang parah selepas lori muatan ringan milik syarikat konsesi lebuh raya dinaiki terbabas merempuh pembahagi jalan dalam kemalangan di Kilometer 189.6 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan pagi tadi.

Dalam kemalangan pada jam 8 pagi itu, penumpang lori berusia 26 tahun parah di bahagian kaki manakala pemandunya berusia 45 tahun dan seorang lagi penumpang berusia 24 tahun cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan dari Ayer Keroh menghala ke Tangkak.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian kenderaan dinaiki hilang kawalan dan terbabas melanggar pembahagi jalan di bahagian kiri lebuh raya.

“Siasatan turut mendapati ketiga-tiga mangsa adalah pekerja sebuah syarikat konsesi lebuh raya.

“Mereka baharu pulang membantu melancarkan kemalangan membabitkan dua buah lori dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 198.2 arah selatan yang mengakibatkan kesesakan teruk tujuh kilometer awal pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, mangsa yang parah dihantar ke Hospital Melaka manakala dua mangsa termasuk pemandu yang cedera ringan dibawa ke Hospital Jasin untuk rawatan lanjut.

“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1090
Kongsi :
Previous post APM kenal pasti lebih 5,000 kawasan berisiko banjir seluruh negara
Next post Pasukan keselamatan negara sedia hadapi ancaman keganasan
Ubah saiz-+=