Tiga cara guna tabung masjid – JAIM
BUKIT PALAH 17 Julai – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menetapkan tiga garis panduan bagi penggunaan Tabung Kutipan Umum Masjid di seluruh negeri ini.
Pengarahnya, Datuk Che Shukri Che Mat berkata, ia bagi memastikan prosedur dan mekanisme penyampaian dapat dipatuhi jawatankuasa masjid sekaligus bantuan dapat disalurkan kepada anak kariah yang memerlukan.
Jelasnya, penyampaian bantuan dibenarkan adalah dengan konsep ‘Serahan Mahabah’ iaitu petugas perlu menyerahkan sendiri bantuan ke rumah penduduk yang dikenalpasti sekitar 3 hingga 6 petang dari Isnin sehingga Khamis.
“Kedua adalah konsep ‘Gerobok Rezeki’ di mana mereka yang memerlukan barang keperluan boleh datang ke masjid menemui petugas pada jam 3 hingga 6 petang setiap Jumaat Sabtu dan Ahad dengan cara penyampaian pandu lalu.
“Konsep ‘Kedai Mahabah’ juga boleh dilakukan di mana pengguna boleh mengambil barang keperluan di kedai runcit yang dilantik oleh masjid.
“Melalui cara ini, masjid berkenaan akan menyediakan kupon kepada penerima untuk dikemukakan kepada kedai yang terpilih di bawah senarai masjid,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, tabung khairat yang digunakan itu perlulah untuk tujuan bantuan buat anak kariah dan tabung dengan tujuan khas adalah tidak dibenar untuk digunakan bagi tujuan terbabit.
Ujarnya, bantuan barangan keperluan yang disediakan itu seiring bagi membantu penduduk mengurangkan bebanan yang ditanggung dalam negara menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Kita harap pihak masjid mampu membantu anak kariah dalam tempoh mencabar ini dan berdoa agar negeri dan negara dalam perlindungan dan pemeliharaan Allah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.