Sorting by

×

Tiga bekas ADUN tunggu isyarat Anwar

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

PANTAI KUNDOR 31 Okt – Pengumuman tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengenai parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang akan disertai mereka hanya perlu menunggu isyarat daripada Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tiga bekas ADUN berkenaan ialah Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).

Nor Azman berkata, beliau, Idris dan Noor Effandi sedang menunggu isyarat Anwar bila waktu paling sesuai untuk membuat pengumuman penyertaan ke dalam parti komponen PH.

“Bagaimanapun sudah pastilah pengumuman itu akan dibuat sebelum penamaan calon pada 8 November ini,” katanya selepas menyampaikan sumbangan hamper kepada anggota komuniti India sempena Deepavali di Taman Tangga Batu, Tanjung Kling di sini hari ini.

Nor Azman berkata, beliau yakin bekas ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang dilaporkan tidak akan diterima menjadi ahli parti komponen PH, apatah lagi menjadi calon PH, kemungkinan besar bertanding atas tiket Bebas.

“Kami yakin beliau mempunyai harapan amat cerah untuk menang kerana di peringkat akar umbi, anggota komuniti di kawasan itu senang dengan beliau kerana beliau kuat bekerja dan sering membantu mengatasi masalah rakyat.

“Kita jangan anggap apabila ada pihak bertanding atas tiket Bebas dia sukar untuk menang kerana hati pengundi tiada siapa yang boleh membacanya, hatta parti besar yang dominan,” katanya.

Nor Azman mengulangi kenyataannya, beliau akan mempertahankan kerusi Pantai Kundor dan yakin bakal memperoleh sokongan untuk mengekalkan kerusi berkenaan berdasarkan beberapa faktor.

“Dalam melaksanakan tugas sebagai Wakil Rakyat, sudah tentu ada yang suka dan ada juga yang tidak suka kita, ada yang menyokong dan ada yang menentang.

“Insya-Allah berkat rekod perkhidmatan saya sejak menjadi ADUN pada Mei 2018, saya yakin sokongan kepada saya tetap ada,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

761
Kongsi :
Previous post Suara akar umbi mahu Ab Rauf jadi calon PRN Melaka
Next post Pak Wan ‘terasa hati’, bakal umum sesuatu November ini
Ubah saiz-+=