TIGA AMANAT KETUA MENTERI KEPADA MCORP
BANDARAYA MELAKA 8 Januari – Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menekankan tiga perkara penting dalam amanat khasnya kepada warga kerja Perbadanan Melaka (MCORP).
Dalam ucaptamanya pada Majlis Makan Malam Gala MCORP di sebuah hotel di sini, malam tadi, beliau mahu setiap amanat yang disampaikan diberi perhatian sewajarnya.
“Pertama, saya mahu semua projek-projek usahasama telah diluluskan perlu dipantau secara serius terutamanya progress (kemajuan) Pra Pembangunan dan Pembangunan fizikalnya supaya sasaran masa mula operasinya dapat dicapai.
“Kedua, MCORP perlu memainkan peranan lebih jelas sebagai agensi utama Kerajaan Negeri dalam konteks pembangunan hartanah seperti perindustrian, perumahan, pelancongan dan komersial, sekali gus menjadi agensi utama yang memacu ekonomi Negeri Melaka selaras dengan ‘mandate’ penubuhan MCORP itu sendiri.
“Ketiga, saya mengharapkan MCORP dapat menyasarkan unjuran hasil lebih besar pada masa akan datang, sekali gus meningkatkan sasaran keuntungan tahunan seiring dengan taraf MCORP selaku ‘Leading Agency for State Government of Melaka’,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET Negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar, Ketua Pegawai Eksekutif MCORP, Datuk Mohd Yusof Abu Bakar serta wakil-wakil pengurusan kumpulan syarikat di bawah MCORP.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.