Tidak tahu larangan merokok di kedai makan alasan pelanggan ditangkap
IPOH, 16 Mac – Tidak mengetahui mengenai larangan merokok di kedai makan antara alasan diberikan pelanggan pada operasi penguatkuasaan yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak di sekitar daerah ini malam tadi.
Pegawai Kesihatan Persekitaran Cawangan Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak Azahari Man berkata sebanyak 71 kompaun bernilai RM17,750 dikeluarkan bagi kesalahan itu dalam operasi melibatkan 54 penguat kuasa Kementerian Kesihatan (KKM) dan empat anggota polis bermula pukul 8 malam.
Katanya kompaun berkenaan dikeluarkan mengikut Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.
“Semasa penangkapan dibuat, kebanyakan pelanggan memberi alasan mereka tidak tahu tidak boleh merokok di kawasan premis makanan.
“Sewajarnya masyarakat perlu ambil tahu kerana peraturan ini diwartakan beberapa tahun yang lepas iaitu pada tahun 2004,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Operasi Penguatkuasaan Larangan Merokok di Taman Ipoh Timur di sini malam tadi.
Azahari berkata seorang individu turut dikenakan kompaun kerana didapati melanggar perintah kuarantin di rumah (HSO) ketika makan di premis tersebut ketika pemeriksaan pegawai pada aplikasi MySejahtera miliknya.
“Satu notis kesalahan Seksyen 11 iaitu tidak mematuhi arahan kuarantin dikeluarkan terhadap seorang remaja lelaki tersebut.
“COVID-19 ini sudah hampir dua tahun lebih dan sewajarnya masyarakat peka dengan isu ini. Situasi ini jika dibiarkan berlarutan bakal menyebabkan penularan penyakit sukar dikawal,” katanya.
Dalam pada itu, empat notis kesalahan bernilai RM1,000Â juga dikeluarkan kepada pemilik premis di bawah Peraturan 12 PPKHT 2004 kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok manakala tiga kompaun dikeluarkan kepada pekedai mengikut Peraturan 14(1) iaitu gagal mempamerkan tanda larangan jualan hasil tembakau kepada individu di bawah umur 18 tahun.
“Penguatkuasaan kepada pematuhan larangan merokok di bawah PPKHT 2004 terutama di tempat makan akan terus dijalankan secara berterusan. Orang ramai diingatkan untuk terus memastikan agar peraturan ini di patuhi,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.