Tidak rasmi: Muhamad Akmal menang Ketua Pemuda UMNO

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

KUALA LUMPUR, 12 Mac –   Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO bagi sesi 2023-2026.

Menurut keputusan tidak rasmi Pemilihan UMNO 2023 peringkat sayap yang dipaparkan menerusi UMNO Online setakat 12.30 tengah malam ini Dr Muhamad Akmal, 32, dilihat meninggalkan jauh tiga lagi pencabarnya iaitu Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah, Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan Meor Hassan Mat Ali.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi laman Twitternya malam ini turut mengucapkan tahniah kepada Dr Muhamad Akmal dan berharap beliau dapat memimpin Pemuda UMNO ke arah yang lebih hebat.

“Moga beliau akan berjaya mendekati anak muda dan membawa mereka ke mercu jaya,” katanya yang memuat naik sekeping gambar bersama ADUN Merlimau yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka itu.

Terdahulu, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang tidak mempertahankan jawatan itu, memaklumkan Dr Muhamad Akmal memperoleh undi 102 Bahagian iaitu melepasi 96 undi untuk memperoleh majoriti mudah daripada 191 Bahagian.

“Alhamdulillah, keputusan tidak rasmi Dr Muhamad Akmal berjaya memenangi jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO untuk sesi 2023-2026,” katanya menerusi laman Facebook.

Dr Muhamad Akmal, yang memiliki Ijazah Perubatan daripada Russian State Medical University, merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka sejak 2018. 

Sementara itu, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pula mendahului pesaingnya apabila mengumpul 48 undi setakat jam 12.30 tengah malam ini, meninggalkan Tan Sri Shahrizat Abd Jalil yang mendapat 32 undi.

Bagi jawatan Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi mendahului dengan memperoleh 51 undi berbanding pencabarnya yang lain iaitu Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Khaidhirah Abu Zahar yang mendapat 25 undi setakat ini.

Empat lagi pencabar iaitu Exco Puteri UMNO, Dr Masliha Harun memperoleh 11 undi, Ketua Puteri UMNO Bahagian Pandan, Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin (dua undi), Exco Puteri UMNO, Fadwah Anuwar (lapan undi) dan Setiausaha Puteri parti, Nurul Hazwani Haslan (tujuh undi).

Keputusan rasmi pemilihan itu dijangka akan diumum Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad setelah selesai proses perkiraan undi dan penelitian dijalankan.

Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2043
Kongsi :
Previous post Polis siasat dakwaan pegawai imigresen dicederakan semasa jalani ujian kecergasan
Next post Warga emas cedera digigit buaya ketika mengambil wuduk
Ubah saiz-+=