Tidak perlu bawa anak kecil ke bazar – Ketua Menteri
SERI NEGERI 7 April – Ibu bapa di negeri ini diingatkan supaya tidak membawa anak kecil ke bazar Ramadan bagi memastikan golongan itu tidak terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata orang ramai diminta untuk mengambil iktibar menyambut Ramadan pada tahun 2020 dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Kita kena berhati-hati, anak-anak terutamanya tidak perlu dibawa, tinggalkan di rumah.
“Ibu atau bapa yang mana penting barang hendak dibeli (sahaja keluar), kemudian pulang terus, jangan lagi berpeleseran.
“Kalau boleh pada bulan Ramadan ini, berbelanja dengan cermat, jangan amalkan pembaziran dan patuhi SOP yang masih dikuatkuasakan,” katanya pada sidang media di Bilik Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Sulaiman memohon orang ramai supaya memanfaatkan peluang diberikan kerajaan untuk menikmati norma kehidupan yang seakan sama seperti dahulu, sebelum pandemik melanda dunia.
“Pelbagai aktiviti keagamaan dilonggarkan, solat terawih sudah boleh dirapatkan, begitu juga bazar Ramadan dan kita yakin kali ini raya yang paling seronok kerana hampir dua tahun tidak balik kampung meraikan.
“Namun apakah kita hendak kembali ke tahun 2020? Kalau kita tidak lagi mengambil iktibar, kenikmatan Ramadan tidak dapat dirasai.
“Ambil iktibar kerana mungkin Allah S.W.T mahu melihat sama ada kita masih beringat atau tidak atau kita masih alpa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.