Sorting by

×

Tidak mustahil calon Bebas jadi ‘king maker’-Norhizam

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

MELAKA 13 Nov – Tidak mustahil calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan menjadi ‘king maker’ sekiranya tiada gabungan parti politik besar berjaya membentuk kerajaan negeri selepas hari pengundian, 20 Nov ini.

Pandangan itu disuarakan calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee kerana berpendapat ada pengundi yang tidak mahu lagi memilih mana-mana gabungan sebaliknya memilih calon Bebas pada hari pengundian nanti.

“Saya yakin, calon Bebas ini tidak mustahil jadi penentu untuk membentuk satu kerajaan negeri jika tiada satu pun parti (gabungan) yang boleh menang selesa.

Ramai orang (pengundi) bincang, mereka tak nak lagi pilih parti, pilih parti ini masalah, pilih parti itu masalah, mereka cuba menaruh harapan pada calon Bebas,” katanya yang ditemu bual melalui aplikasi Zoom dalam rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini malam tadi.

Turut ditemubual, calon Perikatan Nasional (PN) DUN Tanjung Bidara Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan calon Pakatan Harapan (PH) DUN Pantai Kundor Nor Azman Hasan.

Norhizam juga berharap wakil rakyat Bebas yang telah dipilih nanti jika mahu menubuhkan kerajaan dengan memasuki gabungan tertentu, supaya menjadi calon berintegriti dan boleh berkhidmat kepada rakyat.

“Sekiranya itu berlaku (tubuh kerajaan), kalau nak tubuh kerajaan jadilah wakil rakyat yang berhemah,” katanya.

PRN Melaka menyaksikan 112 calon bertanding dengan 22 calon Bebas termasuk Norhizam di samping 28 calon masing-masing daripada Barisan Nasional (BN), PN dan PH, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) (lima) serta Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) (satu).

Dalam pada itu, Mas Ermieyati ketika ditanya spekulasi dirinya merupakan calon Ketua Menteri jika PN berjaya membentuk kerajaan di Melaka, menyifatkannya hanya cakap-cakap di media sosial.

“Saya bertanding hanya kerana mahu menyumbangkan kerusi untuk PN, tidak lebih daripada itu,” katanya.

Terhahulu, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata calon Ketua Menteri akan diumumkan sebelum hari pengundian untuk menerajui kepimpinan Melaka, jika pakatan itu diberi mandat oleh rakyat untuk membentuk kerajaan.

Muhyiddin berkata calon tersebut adalah daripada parti Bersatu. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

603
Kongsi :
Previous post Isu banjir dan jaringan jalan raya perkara pertama akan diselesaikan BN
Next post Cabaran Shahrir berniat jahat – Muhyiddin
Ubah saiz-+=