Sorting by

×

Tidak mustahil boleh tonton bola sepak di stadium lebih awal

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

PUTRAJAYA 11 Mac. – Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tidak menolak kemungkinan kebenaran penonton ke stadium bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini dapat diberikan lebih awal berikutan usaha dan gerak kerja yang positif sedang dilakukan pelbagai pihak.

Reezal Merican berkata ketika ini, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hanya perlu memperincikan protokol pengurusan sukan supaya ia tidak melanggar prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedia ada.

Sebaik ia diperincikan, KBS merancang membentangkan mengenai kebenaran kehadiran penonton ke stadium kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) seawal minggu depan selain mengharapkan pelaksanaan SOP itu berjalan lancar apabila ia mula dilaksanakan.

“Tarikh tepat (dibentangkan) tak dapat dipastikan kerana mesyuarat MKN ketika ini juga tidak tentu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Pembiayaan Industri Sukan di sini, hari ini.

Ketika melancarkan saingan Liga-M 2021 minggu lepas, Reezal Merican memberi jaminan permohonan kehadiran penyokong ke stadium akan dibuat selepas dua bulan saingan Liga-M yang menggunakan model gelembung sukan berjalan dengan lancar.

Namun, timbul desas-desus penonton akan mula dibenar hadir ke stadium seawal sebelum jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada bulan ini.

“Gambaran saya beri ketika pelancaran Liga-M baru-baru ini adalah jika kita dapat lakukan (kehadiran penonton ke stadium) dalam sebulan ia adalah bonus.

“Tapi kalau tidak, saya berharap janganlah sampai ia melebihi tempoh dua bulan,” jelas beliau.

Sementara itu, beliau berkata penyokong tidak diwajibkan membuat ujian calitan COVID-19 jika kerajaan mula membenarkan kehadiran penonton ke stadium pada masa hadapan.

Saingan Liga-M 2021 melibatkan Liga Super dan Liga Premier membuka tirai pada 5 Mac lepas.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

293
Kongsi :
Previous post Kluster Pusat Dialisis Masjid Tanah tamat
Next post Sulaiman hadir majlis kesyukuran sempena setahun tadbir Melaka
Ubah saiz-+=