Tidak memakai topi keledar antara 498 kesalahan lalu lintas dilakukan pelajar di Melaka
AYER KEROH 27 Januari – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka menegaskan kepada ibu bapa agar lebih peka terhadap larangan membenarkan anak di bawah had umur untuk menunggang motosikal ke sekolah berikutan sebanyak 498 kesalahan lalu lintas dikesan dilakukan golongan itu di negeri ini.
Pengarahnya, Muhammad Firdaus Shariff berkata pihaknya mendapati isu membawa motosikal di bawah had umur dan tiada lesen yang sah merupakan antara kesalahan ketara yang direkodkan dalam pemeriksaan dijalankan pihaknya di beberapa buah sekolah di negeri ini.
Jelasnya,menerusi pemeriksaan 363 kenderaan yang dibawa pelajar menerusi empat buah sekolah di negeri ini mendapati sebanyak 498 kesalahan dikenal pasti membabitkan pelbagai kesalahan termasuk teknikal dan sebagainya.
“Kepada ibu bapa yang benarkan anak-anak memandu motosikal ini saya nasihatkan supaya memastikan anak mereka mempunyai lesen memandu untuk datang ke sekolah.
“Dalam program kali ini kita akan lebih kepada advokasi dan menasihati ibu bapa dan pelajar dalam kesedaran ini dengan memberi penerangan dan penjelasan kepada kedua pihak ini tentang pematuhan dan keperluan peratuan undang-undang di jalan raya namun selepas ini sekiranya mereka gagal mematuhinya JPJ akan mengenakan tindakan undang-undang.
“Ibu bapa jangan ambil mudah untuk benarkan anak ke sekolah tanpa mematuhi peraturan di jalan raya kerana sekiranya berlaku perkara tidak diingini seperti kemalangan ia akan membawa kerugian kepada diri sendiri dan pihak sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Keroh, di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau berkata, isu kesalahan tidak memakai topi keledar juga merupakan antara kesalahan tertinggi direkodkan pihaknya selepas menjalankan program itu setakat ini.
Katanya, sebanyak 66 pelajar yang gagal memakai topi keledar ke sekolah diikuti sebanyak tujuh kes lain adalah memakai topi keledar yang tidak disahkan mengikut piawaian ditetapkan.
“Dalam isu ini pula ada yang memberikan alasan atas faktor jarak dari rumah ke sekolah terlalu dekat membuatkan mereka gagal mematuhi peraturan ini.
“Pemakaian topi keledar ini adalah perkara yang paling diwajibkan kerana kemalangan yang berlaku itu tidak pernah mengenal jarak malah ia boleh berlaku di dalam kawasan rumah juga.
“Kita juga nasihatkan selain mematuhi pemakaian alat keselamatan ini, topi keledar juga perlulah mempunyai pengesahan Sirim dan menepati piawaian di tetapkan dan ia bukan hanya pada nama topi keledar sahaja,” katanya.
Mohamad Firdaus menambah, program advokasi itu akan diperluaskan ke setiap sekolah di negeri ini pada masa akan datang agar pendedahan dan kesedaran antara pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah dapat dipertingkatkan bagi mematuhi peraturan jalan raya dari semasa ke semasa.
Katanya, setakat ini empat buah sekolah yang menjalani program itu adalah SMK Pernu, SMK Datuk Bendahara, SMK Bukit Katil dan SMK Ayer Keroh.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.