TIDAK LAGI MENUMPANG RUMAH PUSAKA
PANTAI KUNDOR 19 Oktober – Hampir 20 tahun mendiami rumah pusaka ibu mentua kini Nusalihin Saleh, 48, mampu menarik nafas lega apabila memiliki kediaman sendiri menerusi Program Residensi Rakyat (PRR) Tangga Batu.
Menurutnya berita gembira itu diterima pada awal Oktober lalu apabila pihak Lembaga Perumahan Melaka (LPM) menghubunginya dan memaklumkan bahawa dia layak menerima rumah PRR bagi unit khas Orang Kurang Upaya (OKU).
“Saya tinggal di rumah pusaka mak mentua sudah lama dan menyedari ia tidak semestinya akan menjadi hak milik kita. Jadi, apabila dapat rumah sendiri hanya rasa syukur dapat saya ungkapkan.
“Untuk permohonan rumah ini ramai yang bantu saya, alhamdulillah berkat kesabaran menumpang di rumah pusaka akhirnya ada rezeki miliki rumah sendiri dengan bayaran serendah RM320 setiap bulan.
“Sudah tentu rumah ini lebih selesa dan memudahkan pergerakan saya yang juga seorang OKU memandangkan tempat parkir kereta juga betul-betul di hadapan rumah saya.
“Diharap selepas ini mungkin rumah ini boleh menjadi hak milik kekal saya sendiri dan bukannya disewa sepanjang hayat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah PRR Tangga Batu di sini, baru-baru ini.
Bagi menampung kehidupan harian, bapa kepada tiga anak itu turut mengusahakan perniagaan makanan secara kecil-kecilan di Taman Bukit Rambai.
“Saya dan isteri berniaga kecil-kecilan sahaja seperti masakan bergoreng dan burger, insya-Allah dengan hasil berniaga ini dapatlah membayar sewa bulanan nanti.
“Bila dapat tahu saya layak menerima rumah ini, perasaan terkejut dan gembira semua ada, tak sangka bantuan rakan-rakan yang mohonkan rumah ini keluarga kecil saya dapat berteduh dengan selesa,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.