Tidak ada permintaan di pasaran punca ikan tamban dibuang nelayan

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

LUBOK CHINA 29 Mac – Jumlah tangkapan yang tinggi berikutan musim ikan tamban ketika ini dipercayai menjadi punca hidupan itu dibuang oleh segelintir nelayan.

Mengulas mengenai kejadian ribuan ikan terdampar di Pantai Sungai Tuang, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri, Mohd Fauzi Salehon berkata, hasil analisa ujian makmal jabatan itu tidak mengesan sebarang unsur pencemaran.

Katanya, pihaknya juga tidak mengesan sebarang unsur pencemaran di sepanjang pantai berkenaan.

“Ikan berkenaan bukan mati disebabkan pencemaran. Hasil ujian mendapati ikan ditemui tidak ada tanda serangan penyakit atau mati akibat keracunan.

“Saiz ikan ditemui adalah sama, berdasarkan pemerhatian fizikal mulut ikan berkenaan rosak dan terbuka, ini berkemungkinan akibat tersangkut pada pukat nelayan.

“Selain itu ikan jenis ini tidak ada nilai komersial dipasaran, rasanya tawar jadi dibuang nelayan selepas tersangkut pada pukat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Pelancaran Sukarelawan Perikanan Darat di Pengkalan Nelayan Ramuan China Kechil di sini tengah hari tadi.

Mohd Fauzi berkata, bagi mengelakkan lambakan ikan kurang nilai komersial di pasaran pihaknya merangka beberapa perancangan bakal memberi manfaat kepada nelayan.

“Sudah ada perbincangan dengan nelayan, mungkin ikan jenis berkenaan diproses sebagai pekasam, secara tidak langsung kita keluarkan produk baharu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1142
Kongsi :
Previous post Sukarelawan Perikanan Darat ‘intai’ aktiviti haram
Next post Tun M ucap terima kasih kepada pakar perubatan IJN, pakar perubatan jemputan
Ubah saiz-+=