Sorting by

×

Tidak ada ‘double standard’ pesakit bersalin di Hospital Melaka – Rusdi

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

AYER KEROH 16 Dis – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) menafikan pihaknya mengamalkan ‘double standard’ atau diskriminasi terhadap mana-mana pesakit sewaktu proses kelahiran di kamar bersalin Hospital Melaka (HM).

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Rusdi Abd Rahman berkata pihaknya terkesan isu yang ditularkan di Facebook GPMC 5.0 Sabtu lalu berhubung pesakit yang tidak menerima layanan sama rata semasa proses kelahiran bayi di dewan bersalin HM.

“Hospital Melaka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pengurusan Ibu Mengandung Dengan COVID-19.

“Kita memberikan layanan sama rata kepada semua pesakit sama ada pesakit telah divaksinasi atau belum divaksinasi, tiada diskriminasi atau double standard dalam perawatan pesakit ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pesakit berkenan berusia 39 tahun dan sedang mengandungkan anak yang keempat dalam usia kandungan 37 minggu.

Ujarnya, pesakit telah hadir ke kaunter saringan kamar bersalin (PreAssessment) jam 11 malam pada 28 Nov 2021 (Ahad) kerana telah mengalami tumpah air ketuban.

“Pemeriksaan awal pegawai perubatan bertugas mendapati pesakit mempunyai gejala selesema dan tiada deria bau selama dua hari.

“Berikutan itu, pesakit diarahkan menjalani ujian calitan RTK Antigen (RTK-Ag) bagi pengesanan awal COVID-19 sebelum keputusan ujian itu menunjukkan positif.

“Pesakit dikategorikan sebagai Probable COVID-19 Category 2 serta diarahkan untuk diisolasi di Bilik Isolasi Khas Pesakit COVID-19 dalam Kamar Bersalin,” katanya.

Menurut Rusdi, pesakit berkenaan dan suaminya telahpun dimaklumkan bahawa proses kelahiran pesakit dilakukan secara pembedahan kecemasan (Emergency Low Section Caesarean Section).

“Justeru, pembedahan kecemasan (EMLSCS) akan dilakukan pada waktu malam sekiranya pesakit ada menunjukkan tanda-tanda ingin bersalin sebaliknya pembedahan akan dilakukan pada keesokan harinya sekiranya tiada tanda ingin bersalin.

“Pada 29 Nov (Isnin) sekitar jam 6.15 pagi, pesakit mengalami kontraksi dan persediaan untuk pembedahan kecemasan telah dilakukan. Pada jam 7.25 pagi kakitangan bertugas telah mendengar pesakit meminta bantuan.

“Kakitangan telah melakukan proses donning untuk persediaan menyambut kelahiran bayi, walaubagaimanapun sekitar jam 7.33 pagi pesakit telah melahirkan seorang bayi secara bersendirian di atas katil bilik isolasi sebelum kakitangan sempat mengendalikan proses kelahiran pesakit,” katanya.

Tambahnya, selepas proses kelahiran itu, bayi dan ibu berada dalam keadaan baik dan transisi proses kelahiran pada pesakit berlaku dengan pantas (precipitate labour) memandangkan ini adalah kelahiran keempat oleh pesakit.

Jelasnya, hasil ujian PCR oleh Makmal Patologi Hospital Melaka turut mendapati pesakit adalah positif COVID-19 dengan CT Value 22.69.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1309
Kongsi :
Previous post Pikul amanah dan mandat rakyat dengan cekap dan berkesan – KM
Next post Tiada keperluan pinda had minimum perkahwinan bagi perempuan
Ubah saiz-+=