
‘TIANG PINTAR’ MPAG CAKNA KESELAMATAN ORANG AWAM DI TAMAN REKREASI
ALOR GAJAH 28 Februari – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) memperkasakan lagi inisiatif pendigitalan dan mengaplikasikan teknologi pintar dengan memperkenalkan kemudahan ‘Smart Pole’ di empat taman rekreasi dalam kawasan pentadbirannya.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), TPr. Saifuddin Abdul Karim Smart Pole dipasang di Dataran Keris; Taman Rekreasi Pengkalan; Taman Rekreasi Durian Daun dan Taman Rekreasi Beringin.
Mengulas lanjut TPr. Saifuddin berkata, Smart Pole adalah inisiatif berfaedah untuk orang ramai kerana ia dilengkapi pembesar suara bagi tujuan hebahan maklumat atau amaran kepada orang ramai, kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi kecerdasan pintar (AI) dan sambungan internet menerusi jaringan tanpa wayar (WiFi) boleh menampung kegunaan lima hingga 10 individu.
“Ciri lain Smart Pole adalah dilengkapi ‘USB Open Port’ untuk mengecas telefon pintar, sensor ‘internet of things’ (IoT) bagi memantau bacaan kualiti udara, suhu persekitaran, kelembapan dan mengukur kelajuan serta arah angin dalam masa nyata ‘real time’.
“Kemudahan mula beroperasi hujung tahun lalu ini juga mampu membantu usaha pencegahan jenayah dan menangani situasi cemas kerana ia turut dilengkapi ‘panic button’.
“CCTV dipasang pula amat berguna bagi tujuan pemantauan persekitaran dan risiko bencana selain meningkatkan kecekapan pengurusan operasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, TPr. Saifuddin berkata inisiatif itu dapat mewujudkan infrastruktur bandar yang lebih efisien dan terhubung secara ‘real time’.
“Apa yang boleh disimpulkan adalah Smart Pole meningkatkan lagi tahap keselamatan, membantu proses mengumpul data dan pada masa yang sama mempertingkatkan sistem pencahayaan menerusi pemasangan ‘atmostphere mode light’,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.