Tiang lampu pintar dimensi baharu Melaka
SERI NEGERI 24 Ogos – Inisiatif Smart Lamp Pole (SPL) yang diluluskan Kerajaan Negeri berupaya memacu Melaka menjadi sebuah bandar pintar pada masa akan datang.
Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam berkata, menerusi pemasangan lebih banyak tiang lampu pintar di negeri ini, ia dapat membantu meningkatkan akses 5G di Melaka.
Selain itu, katanya, inisiatif itu juga membolehkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), pengurusan trafik dan sebagainya dapat dilaksanakan.
“Selain itu, ia dapat mengurangkan ‘blind spot’ bagi jaringan 4G yang masih wujud di beberapa lokasi di melaka.
“Kerajaan negeri juga disarankan untuk mengkaji pelaksanaan konsep ‘fiber neutral akses’ terbuka sebagai tulang belakang utama infrastruktur digital pintar Negeri Melaka.
“Saya difahamkan ia bakal menjadi platform neutral dan kompetitif bagi semua pemain industri telekomunikasi dalam memberikan akses digital yang bersepadu kepada industri dan rakyat Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-74 Yang di-Pertua Negeri di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Tun Mohd Ali turut menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri menganjurkan Smart Melaka International Conference And Expo 2023 (SMIX 2023) pada 12 – 14 Oktober depan.
Kata beliau, persidangan dan forum yang merangkumi pelbagai program itu bakal mewujudkan ekosistem pelaburan melalui sesi padanan perniagaan dengan industri bersama-sama agensi pelaburan negeri bagi membuka peluang-peluang pelaburan di dalam industri digital dan pintar.
“Justeru, saya menyeru agar rakyat Melaka dapat mengambil peluang dan datang beramai-ramai ke ekspo ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.