Tiada upacara Thaipusam di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 26 Jan. – Melaka kekal dengan keputusan tidak membenarkan perarakan mahupun upacara Thaipusam dilaksanakan di kuil-kuil seluruh negeri ini berikutan masih berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional Melaka, Habibah Jaafar berkata, perkara itu selaras dengan keputusan yang dibuat dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai COVID-19 pada 18 Januari lalu.

“Jadi, kita mengguna pakai arahan sedia ada yang tidak membenarkan sebarang perarakan atau upacara di kuil negeri ini dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19,” katanya ringkas ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Terdahulu, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mengumumkan semua upacara Thaipusam di rumah ibadat (kuil) adalah tidak dibenarkan di negeri-negeri yang dikenakan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengumuman itu dibuat selepas Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Menteri Kanan Pertahanan Bilangan 3 2021, selain turut mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan ketua-ketua agama Hindu bersama-sama MKN, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mana ia telah mendapat persetujuan.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan hari ini, KPN memaklumkan bahawa satu kebenaran khas telah diberikan bagi membawa kereta pedati dari kuil Sri Maha Mariamman, Kuala Lumpur ke Kuil Sri Subramaniam, Batu Caves pada 27 dan kembali ke kuil asal pada 29 Januari.

Kebenaran itu bagaimanapun tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat dengan penganut juga tidak dibenarkan mengikut serta mengiringi pedati berkenaan.

Syaratnya, ‘chariot’ (pedati) tidak boleh berhenti di mana-mana, pengikut tidak lebih daripada 10 orang, tiada muzik dan lain-lain.

#thaipusam #pedati

Views:

810
Kongsi :
Previous post COVID-19: Tiga lagi sekolah rendah di Terengganu diarah tutup
Next post Ketua dan empat ahli sindiket dadah dituduh di mahkamah
Ubah saiz-+=