Tiada tanda harga ‘pink’, peniaga akan dikompaun – EXCO
PENGKALAN BATU 29 Jan – Peniaga di negeri ini diingatkan supaya meletakkan tanda harga merah jambu pada barangan terkawal yang dijual sepanjang Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).
EXCO Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem berkata, tanda harga itu perlu dipamerkan oleh peniaga bagi membezakan dengan barangan yang bukan dalam kategori harga kawalan.
“Masih ada peniaga yang tidak berbuat demikian apabila KPDNHEP mengeluarkan sebanyak 33 kompaun kepada peniaga dalam tempoh 28 hari tahun ini.
“Peniaga yang didapati gagal mempamerkan tanda merah jambu akan dikompaun serta merta dengan nilai antara RM200 hingga RM300,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2022, di sebuah pasaraya di Bachang, hari ini.
Menurut beliau, peniaga yang gagal berbuat demikian melakukan kesalahan mengikut subperenggan 2(2) Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan) Harga Barangan Harga Terkawal kerana tidak mematuhi subperenggan 2(1) Perintah sama.
“KPDNHEP turut mengeluarkan lima notis kepada peniaga kerana gagal meletakkan label atau tag pada barangan yang menunjukkan harga tunai.
“Kesemua 38 kompaun dikeluarkan KPDNHEP itu berjumlah RM7,000 dan tiada sebarang rampasan barangan dilakukan,” katanya.
Hee Sem berkata, bermula awal bulan ini sehingga 28 Januari KPDNHEP menerima 45 aduan selain sebanyak 3,789 premis diperiksa.
Sementara itu, beliau berkata, terdapat enam lagi barangan yang dimasukkan dibawah SHMMP menjadikan kesemuanya 24 kategori termasuk ayam, telur serta timun.
“Enam lagi barangan itu adalah ikan bawal putih, udang putih, bawang putih, babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.