Tiada SOP baharu susulan kebenaran rentas negeri- PM
KUALA LUMPUR 10 Okt. – Tiada prosedur operasi standard (SOP) baharu akan diperkenalkan susulan keputusan kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri di seluruh negara mulai esok.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan melihat kepada purata keseluruhan kadar vaksinasi negara biarpun ada negeri belum mencapai kadar 90 peratus dan proses vaksinasi remaja 17 tahun ke bawah sedang berjalan.
“…seperti saya katakan apabila kita mencapai 90 peratus (kadar vaksinasi dewasa), ada negeri yang mencapai lebih 100, ada yang kurang.
“Tapi saya percaya dari segi data KKM (Kementerian Kesihatan) seluruh negeri mesti sudah melebihi 80 peratus.
“Jadi tiada SOP baharu yang diperkenalkan sama seperti yang lain,” katanya pada sidang media khas hari ini.
Ismail Sabri berkata, golongan kanak-kanak yang belum divaksin dibenarkan untuk merentas negeri, namun perlu berada di bawah kawalan ibu bapa berkaitan pematuhan SOP.
“Oleh kerana anak-anak kita belum mendapat vaksin, jadi kitalah (ibu bapa) yang perlu menjaga mereka.
“Kitalah yang perlu memastikan tidak membawa mereka ke tempat perhimpunan ramai dan sebagainya, kitalah yang perlu menjaga kepentingan mereka.
“Sebabnya, sekarang ini vaksinasi kalangan remaja 17 tahun ke bawah, masih dalam proses…mereka boleh rentas negeri.
Perdana Menteri turut menasihatkan rakyat Malaysia agar tidak mengambil mudah kelonggaran diberikan kerana ia penting bagi membantu negara dalam pembukaan semula ekonomi serta persediaan menjalani kehidupan fasa endemik dengan selamat atau #ReopeningSafely.
“Walaupun kebebasan telah diberikan kita tidak boleh bersikap sambil lewa dari segi pematuhan SOP.
“Jika hal ini diambil mudah, tidak mustahil penularan wabak COVID-19 ini akan kembali meningkat.
“Anda kini adalah barisan hadapan yang akan melindungi keluarga dan komuniti daripada jangkitan virus COVID-19,” katanya.
Beliau turut menegaskan Akta Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih berkuat kuasa dan boleh dikenakan kepada mereka yang melanggarnya.
“Kebenaran ini bukan bermakna pihak berkuasa akan
bersikap lepas tangan. Walaupun tiada lagi Sekatan Jalan Raya (SJR) untuk mengawal pergerakan rentas negeri, tetapi SJR untuk jenayah dan keselamatan masih diteruskan.
“Pemeriksaan secara rawak akan tetap dilaksanakan oleh pihak berkuasa di bawah Akta 342,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.