Sorting by

×

Tiada sebarang pertemuan di Istana Melaka sehingga Khamis ini

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BUKIT BERUANG 5 Okt. – Istana Melaka tidak akan mengadakan sebarang pertemuan untuk mana-mana wakil rakyat yang ingin menghadap Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam sehingga Khamis ini.

Setiausaha Khas Yang di-Pertua Negeri, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, setakat ini tiada pergerakan bagi urusan keluar masuk ke istana itu berikutan beliau diarahkan menjalani perintah kuarantin sejak Khamis lalu.

Jelasnya, Tun Mohd Ali kini memerlukan tempoh kuarantin kendiri berikutan menjadi kontak rapat individu positif COVID-19.

“Sebarang pertemuan atau kunjung hormat bergantung kepada beliau jika dijadualkan masuk ke pejabat Jumaat ini.

“Terserah kepada Tun Mohd Ali untuk bagi keputusan sama ada untuk berjumpa dengan mana-mana ahli politik pada hari itu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, ujarnya, setakat semalam, pihaknya telah menerima surat permohonan kunjung hormat ke atas Tun Mohd Ali daripada Pengerusi Pakatan Harapan, Adly Zahari untuk membincangkan kemelut politik yang melanda.

Terdahulu, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah menyerahkan surat ketidakpercayaan kepada Pejabat Ketua Menteri semalam.

Empat ADUN itu adalah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Idris Haron (ADUN Sungai Udang), ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee, ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kini mempunyai 28 kerusi DUN. Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali kini hanya mempunyai 13 ADUN yang menyokong beliau setelah empat ADUN terbabit menarik sokongan terhadap beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1991
Kongsi :
Previous post Malaysia perlu ramai pakar vaksin – Lee Lam Thye
Next post UMNO Melaka panggil mesyuarat khas malam ini
Ubah saiz-+=