Sorting by

×

Tiada satu pun Ordinan Darurat bertujuan bolehkan PM kekal berkuasa- Muhyiddin

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

PUTRAJAYA 1 Mac. – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan tidak ada satu pun ordinan yang diperkenalkan di bawah Proklamasi Darurat bertujuan membolehkan perdana menteri kekal berkuasa selama-lamanya.

Malah katanya perintah darurat yang sedang dilaksanakan itu juga mempunyai tempoh tamat pada 1 Ogos tahun ini.

“Inilah kali pertama dalam sejarah negara kita, darurat mempunyai tempoh tamat… saya sedar dan saya faham maksud demokrasi,” katanya pada majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin yang disiarkan secara langsung menerusi platform media hari ini.

Muhyiddin berkata sejak darurat berkuat kuasa, Yang di-Pertuan Agong telah memasyhurkan tiga ordinan, iaitu Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Beliau berkata kesemua ordinan itu bertujuan membolehkan kerajaan menangani pandemik COVID-19 dengan lebih cekap dan berkesan, termasuk menambah baik pengurusan penginapan pekerja asing yang menjadi antara punca utama penularan COVID-19 dalam negara.

Beliau berkata dengan adanya Proklamasi Darurat, kesemua ordinan itu dapat dimasyhurkan dalam tempoh yang singkat tanpa perlu melalui proses di Parlimen yang kebiasaannya mengambil masa yang lama.

“Proklamasi Darurat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah semata-mata untuk mengatasi masalah COVID-19.

“Yang di-Pertuan Agong juga telah melantik sebuah Jawatankuasa Khas Bebas yang turut dianggotai oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang untuk meneliti keadaan darurat di negara ini dan membuat perakuan sama ada darurat boleh ditamatkan lebih awal atau sebaliknya,” kata perdana menteri.

Muhyiddin berkata beliau percaya jawatankuasa itu akan meneliti keadaan pandemik COVID-19 di dalam negara dengan sebaik-baiknya.

“Jika jawatankuasa ini berpuas hati bahawa masalah COVID-19 telah dapat dikawal sepenuhnya, maka perakuan boleh dibuat supaya darurat ditamatkan,” katanya.

Dalam pada itu beliau meminta pihak yang berkenaan agar memberikan ruang kepada kerajaan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha mengawal penularan pandemik tersebut.

Katanya, apabila masalah COVID-19 telah dapat diatasi, beliau sendiri akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen supaya pilihan raya boleh diadakan.

“Seperti mana yang saya telah tegaskan berulang kali, saya menjunjung perlembagaan dan prinsip demokrasi… fokus utama kerajaan pada masa ini ialah memacu negara mengharungi krisis kesihatan dan ekonomi yang sedang dihadapi.

“Apabila pandemik ini berakhir yang saya harap berlaku dalam masa terdekat, saya akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen… sehingga tiba saat itu, saya dan jemaah menteri akan terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab kami sedaya upaya kami,” katanya.

Muhyiddin berkata apabila pilihan raya berlangsung, terserah kepada rakyat untuk memilih sama ada mengekalkan kerajaan PN atau sebaliknya.

“Anda bebas memilih, itulah demokrasi,” kata perdana menteri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

487
Kongsi :
Previous post Bantuan zakat korporat SSM bantu ringankan beban kewangan
Next post Muhyiddin minta GLC pertimbang permohonan pengecualian bayaran sewa peniaga
Ubah saiz-+=