Sorting by

×

Tiada projek ‘sakit’ di Melaka 2020 hingga 2022 – KM

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 8 Disember – Kerajaan Negeri berjaya melaksanakan semua projek yang dirancang antara tahun 2020 hingga 2022 kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Sulaiman berkata daripada 2,727 projek membabitkan peruntukan RM353 juta tidak ada yang dikategorikan sebagai ‘sakit’.

“Prestasi perbelanjaan pula merekodkan peningkatan konsisten mencapai 85 peratus ke atas selama tiga tahun berturut-turut.

“Alhamdulillah, saya bersyukur apabila tiada projek sakit yang direkodkan sepanjang tahun 2020 hingga 2022,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Penilaian Pembangunan Negeri Melaka Tahun 2022 di Ames Hotel, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari.

Hadir sama Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Zaidi Attan; Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), VP Shanmugam; Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem dan Pegawai Kewangan negeri Datuk Salhah Salleh.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata sepanjang tempoh itu, melalui dasar ‘outcome based development’ inisiatif kajian penilaian’outcome’ telah dilaksanakan bagi melakukan penilaian ke atas projek pembangunan negeri.

“Ia bagi memastikan projek pembangunan di Negeri Melaka benar-benar memberi impak dan ‘outcome’ kepada kumpulan sasar. Hasilnya, menerusi Bajet 2021 Negeri Melaka, peruntukan sektor pertanian telah meningkat sebanyak RM1.9 juta. Manakala pada Bajet 2022 Negeri Melaka, peningkatan peruntukan pembangunan sebanyak RM5 juta telah diberikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2856
Kongsi :
Previous post Manfaatkan tanah wakaf untuk pembinaan SRA – KM
Next post Nasi atau mi gulung kekal rasa sejak 15 tahun
Ubah saiz-+=