
TIADA PERTUKARAN, HANYA PERHALUSI PORTFOLIO EXCO – KM
SERI NEGERI 29 April – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sedang memperhalusi portfolio-portfolio barisan Exco Kerajaan Negeri.
Ab Rauf berkata, perkara itu bertujuan untuk meringankan bebanan tugas sesetengah Exco kerana ada dalam kalangan mereka ketika ini memegang terlalu banyak portfolio.
Namun jelasnya, sejak dimaklumkan indikator pertukaran portfolio, kesemua Exco menunjukkan pestasi yang luar biasa dan mencapai sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) yang diberikan.
“Insya-Allah kedudukan Exco tidak berubah namun portfolio mereka dijangka akan diubah, Tujuan saya mahu meringankan beban beberapa wakil rakyat (Exco) yang portfolio mereka ini terlampau banyak. Perkara ini juga bertujuan memastikan mereka dapat berkhidmat dan rakyat menerima faedah daripada usaha merakyatkan pentadbiran Kerajaan Negeri.
“Pastinya saya akan buat perubahan portfolio. Setakat ini saya amat berpuas hati dengan KPI Exco-Exco, teguran yang diberikan sebelum ini memberi kesan dan mereka ini tahu peranan dalam menyantuni rakyat.
“Saya berikan peluang kepada mereka (Exco Kerajaan Negeri) untuk berkarya dengan lebih baik lagi. Kadang-kadang teguran ini juga memberikan satu pulangan politik yang baik kepada saya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr.Muhamad Akmal Saleh.
Selain itu Ab Rauf turut menzahirkan rasa terima kasih kepada semua wakil rakyat yang bersungguh-sungguh menjayakan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) hingga memberikan impak kepada rakyat Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.