Tiada perkembangan baharu berhubung kehilangan dua nelayan
AYER KEROH 25 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan pasukan maritim Indonesia masih belum menemui petunjuk berhubung pencarian seorang lagi nelayan tempatan yang dikhuatiri hilang selepas keluar menjaring ikan di perairan Pulau Undan, dekat sini, 13 Januari lalu.
Pengarah Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, menerusi rondaan di sekitar kawasan pulau itu dan sempadan perairan, pihaknya tidak menjumpai sebarang objek yang boleh dijadikan petunjuk.
Katanya, hubungan komunikasi turut dijalankan dari semasa ke semasa antara Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS), Badan Keamanan Laut (BAKAMLA) dan Polis Republik Indonesia (POLRI), namun pihak keselamatan maritim di negara jiran itu memaklumkan tiada sebarang petunjuk ditemui.
“Masih tiada petunjuk dan penemuan untuk seorang lagi mangsa dan kita selalu juga berhubung dengan pihak BASARNAS, BAKAMLA dan POLRI. Mereka bersedia memaklumkan kepada kami jika ada apa-apa penemuan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Pada Rabu lalu, mayat lelaki yang lengkap berpakaian ditemui dalam keadaan tertiarap oleh penduduk tempatan di pantai Teluk Lecah, Pulau Rupat, Indonesia, dipercayai rakyat Malaysia kira-kira jam 7 pagi.
Berdasarkan laporan portal berita m.riau24.com, pihak berkuasa Bengkalis, Indonesia mengesahkan mayat berkenaan adalah rakyat Malaysia berdasarkan kepada penemuan beberapa kad identiti mangsa termasuk lesen memandu dengan tertera nama Ahmad Norizan Mohamad.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, pihaknya masih menunggu perkembangan siasatan termasuk laporan bedah siasat mayat terbabit daripada pihak berkuasa Indonesia.
“Setakat ini kita menunggu laporan daripada pihak polis Indonesia sama ada siasatan sudah selesai atau sebaliknya.
“Jika sudah selesai siasatan di sana, siasatan akan disambung di peringkat kita pula,” katanya.
tamat