Tiada penularan HFMD di Tabika, Taska Kemas seluruh negara
KEPALA BATAS, 13 Mei – Setakat ini tiada Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di seluruh negara ditutup kerana kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang ketika ini semakin meningkat.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Datuk Mohamad Yasin Bidin berkata ini kerana Tabika dan Taska Kemas telah melaksanakan amalan penjagaan kebersihan sebagai langkah pencegahan terhadap penyakit itu.
“Di seluruh negara, Kemas mempunyai 10,830 Tabika dan 545 Taska Kemas membabitkan 220,000 murid dan berdasarkan maklumat setakat ini, hanya seorang murid di Tabika Kemas di Tasek Gelugor, dekat sini yang dijangkiti HFMD.
“Namun kanak-kanak tersebut dijangkiti bukan ketika di Tabika malah dia juga terus tidak hadir selepas terkena HFMD itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Usahawan Asnaf Berdikari di Pusat Kegiatan Masyarakat Kemas Paya Keladi di sini hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini dilaporkan berkata kes jangkitan HFMD di negara ini menunjukkan peningkatan 12.8 kali ganda iaitu sebanyak 22,463 kes HFMD dilaporkan di seluruh negara berbanding 1,752 kes tahun lepas.
Mohamad Yasid berkata langkah-langkah amalan kebersihan membabitkan murid di Tabika dan Taska Kemas dijalankan sebelum penularan COVID-19 lagi, malah pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memberi pendedahan kepada mereka.
“Macam amalan basuh tangan, ia memang telah dipraktikkan sejak dahulu lagi dan di Kemas juga memang kami jaga amalan kebersihan jadi tidak timbul isu kalau ada kes (HFMD) baru kita buat amalan kebersihan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata Kemas memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi melaksanakan Program Asnaf Berdikari tahun ini dan menyasarkan untuk melahirkan sehingga 140 usahawan asnaf di seluruh negara.
“Menerusi program itu tahun lepas, Kemas berjaya latih seramai 50 orang asnaf di beberapa buah negeri kerana ia adalah projek perintis dan berdasarkan maklumat, ada sebahagian daripada mereka yang telah berjaya ketika ini,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.