Sorting by

×

Tiada masalah tukar semester sekolah ke Julai

Masa Membaca:2 Minit, 17 Saat

SHAH ALAM – Tiada masalah jika permulaan semester persekolahan bagi peringkat rendah dan menengah ditukarkan kepada Julai berbanding Januari ketika ini.

Bekas Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Datuk Dr Zakaria Kasa berkata, cadangan pertukaran itu hanya membabitkan anjakan masa tanpa menjejaskan tempoh pembelajaran.

Di negara ini menurutnya, pertukaran itu boleh dilakukan pada bila-bila masa berbanding negara bahagian utara dunia seperti Amerika Syarikat dan Eropah kerana mempunyai empat musim.

“Di negara terbabit, semester sekolah dan universiti adalah sama pada September kerana musim sejuk bermula manakala mereka bercuti pada musim panas.

“Di Malaysia permulaan sekolah pada Januari dan cuti pada Disember mungkin kerana mahu mengelak musim tengkujuh yang menyebabkan banyak tempat dilanda banjir.

“Tapi sekarang musim banjir sudah tidak menentu, maka jika mahu tukar semester sekolah kepada Julai, dari segi pembelajaran ia tidak ada masalah asalkan jumlah masa belajar itu menepati piawaian antarabangsa,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, permulaan semester bagi peringkat universiti di negara ini mengikut negara di Eropah bagi mempermudahkan penganjuran program kerjasama pendidikan antara universiti seluruh dunia.

Sehubungan itu menurutnya, cadangan pertukaran permulaan semester bagi sekolah rendah dan menengah wajar dipertimbangkan agar selari dengan universiti.

“Jika cuti sekolah rendah dan menengah sama seperti universiti, jadi senanglah abang kakak nak bawa adik-adik pergi berjalan atau membantu menjaga di rumah,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Wan Marzuki Wan Jaafar berkata, cadangan menukarkan permulaan semester sekolah setiap tahun ke Julai perlu dikaji secara terperinci.

“Kita harus melihat apakah rasionalnya cadangan pertukaran ini? Jika kita mendapati pertukaran permulaan semester sekolah ini memberi manfaat yang terbaik, maka barulah boleh dilakukan.

“Jika tidak, ia perlu dikekalkan sebagaimana yang dilaksanakan sebelum ini.

“Bagi saya, setiap sesuatu perubahan itu perlu melalui kajian yang terperinci dengan melihat daripada pelbagai perspektif agar sesuatu keputusan yang diambil memberi manfaat terbaik kepada semua pihak,” katanya.

Tokoh Akademik, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berpendapat cadangan menukarkan permulaan semester persekolahan ada pro dan kontra.

Kata beliau, sistem pendidikan di negara ini sudah dilaksanakan sejak kemerdekaan berdasarkan beberapa situasi termasuk mengambil kira kepentingan pihak berkaitan.

“Disember itu cuti panjang dan Januari permulaan semester. Jika diubah perlu ada perbincangan bersama pihak lain dan tidak hanya membabitkan pengurusan sekolah sahaja.

“Kalau nak dilaksanakan, perlu ada town hall, mesyuarat bersama badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Dalam hal ini saya tidak nampak ia perlukan satu perubahan yang besar,” katanya.

Beliau berkata, cuti persekolahan bermula pertengahan November hingga Disember sesuai dengan keadaan cuaca hujan lebat yang mengakibatkan banjir di Pantai Timur dan Barat sehingga menjejaskan sesi pembelajaran.

Menurutnya, kemasukan ke universiti pada Mei dan Jun pula memberi ruang masa kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membuat persiapan selepas keputusan peperiksaan itu keluar pada hujung Februari atau awal Mac

Views:

1179
Kongsi :

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Previous post Rakyat yakin dengan usaha kerajaan memerangi wabak COVID-19 – UIAM
Next post KAFA mohon tangguh denda FIFA
Ubah saiz-+=